Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Mahkamah dimaklumkan bahawa hubungan antara bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Ag Mohd Tahir Mohd Talib, dengan bekas timbalannya, Teo Chee Kong, tidak semestinya baik walaupun mereka telah berkhidmat bersama lebih 20 tahun.
Dalam keterangannya, Ag Tahir menolak cadangan pihak pendakwaan bahawa Teo sentiasa patuh kepada arahan pegawai atasan sepanjang tempoh tersebut.
Beliau turut mendedahkan bahawa dirinya pernah menerima kata-kata berunsur ugutan ketika bertugas di jabatan itu, namun tidak pernah membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Ag Tahir menyatakan perkara itu semasa pemeriksaan balas (cross examine) oleh Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Jumaat di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Mahadi: setuju atau tidak, semasa Teo Chee Kong telah bekerja bersama kamu lebih 20 tahun, dia adalah seorang yang patuh kepada arahan pegawai atasan, setuju?
A: Tidak setuju
Mahadi: Sepanjang masa kamu menjadi Pengarah JANS, beliau hanya seorang Jurutera Daerah Kota Kinabalu sehinggalah dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah JANS pada tahun 2015. Betul?
A: Betul.
Mahadi: Lebih 10 tahun dia berada di bawah kawalan dan tertakluk kepada apa sahaja arahan kamu berdasarkan gred jawatan. Setuju?
A: Betul.
Mahadi: Dalam tempoh itu, hubungan kamu dan dia adalah baik, setuju?
A: Tidak semestinya
Mahadi: Dan dalam tempoh itu juga, tidak pernah pada bila-bila masa dia atau mana-mana pihak ketiga seperti gangster mengugut mencederakan kamu atau keluarga dalam tempoh 12 tahun. Betul?
A: Tidak betul.
Mahadi: Jadi, dari 2003 hingga 2015, kamu pernah dipukul atau diugut oleh Teo atau gengsternya?
A: Dipukul tidak, tetapi berunsur ugut ada.
Mahadi: Saya cadangkan, tiada apa-apa laporan polis kepada mana-mana pihak yang dapat dikemukakan untuk menyokong cerita ugutan kamu, betul?
A: Betul
Mahadi: Dalam tempoh 12 tahun ini juga kamu tidak pernah pada bila-bila masa Teo menggunakan hubungan baiknya dengan menteri dan pegawai kementerian untuk menakut-nakutkan kamu
A: Tidak betul
Mahadi: kalau ada sudah pasti ada apa-apa laporan yang dibuat oleh kamu.
A: Tidak setuju.
Mahadi: kamu sebagai pengarah JANS, memandangkan terdapat kawalan terhadap Teo kamu juga boleh mengambil Tindakan terhadap Teo termasuk memindahkanya ke headquaters JANS, Betul?
A: Tak betul
Mahadi: Kamu tidak mempunyai apa-apa sebab untuk gerun atau takut dengan Teo berdasarkan kenyataan saksi kamu, setuju?
A: Tidak setuju
Mahadi: Berdasarkan kenyataan saksi kamu… kamu tiada sebarang sebab untuk ‘play safe’ dengan Teo kerana dia hanya dilantik sebagai Timbalan selepas 12 tahun kamu menjadi pengarah, setuju
A: Tidak setuju
Sementara itu, semasa pemeriksaan semula (re-examine) oleh peguam Datuk Ansari Abdullah, Ag Tahir mengakui pernah menerima kata-kata berunsur ugutan seperti: “Kalau mahu jadi pengarah, ikut saja.”
Ditanya lanjut, Ag Mohd Tahir berkata beliau tidak pernah membuat laporan polis berhubung perkara itu.
Turut dibicarakan bersama Ag Tahir, 63, ialah isterinya Fauziah Piut, 60, dan bekas timbalan pengarah Lim Lam Beng, 66.
Mereka berdepan dengan sejumlah 37 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang tunai dan simpanan bank berjumlah RM61.57 juta serta pemilikan barang mewah secara tidak sah antara Oktober dan November 2016.
Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim turut mengendalikan perbicaraan ini.
Ag Tahir dan Fauziah turut diwakili oleh Erveana Ansari, manakala Lim diwakili oleh Datuk Tan Hock Chuan, Baldev Singh, Karpaljit Singh dan Kelvin Wong.