KOTA MARUDU: Generasi muda perlu bersedia menghadapi cabaran pertarungan minda dan perubahan persekitaran yang begitu pantas bagi memastikan kemerdekaan dapat terus dikekalkan.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Redonah Bahanda mengingatkan mereka agar tidak mengambil ringan perkara itu kerana segala pencapaian negara akan lenyap dalam sekelip mata akibat pelbagai ancaman seperti kegawatan politik, ekonomi dan sosial yang boleh tercetus dengan mudah.
Beliau berkata rakyat tidak boleh leka dengan perkara-perkara yang kurang membawa manfaat, sedangkan dunia kian berubah dan perlumbaan untuk menempa kejayaan berterusan dalam semua lapangan berlangsung tanpa henti.
“Ancaman kepada kemerdekaan pada masa ini terdapat dalam pelbagai bentuk. Apabila sesebuah negara itu lemah dari segi tidak mampu meletakkan pandangannya di hadapan, itu bukan kemerdekaan yang sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sambutan Maulidur Rasul dan Pertandingan Sepanduk peringkat daerah Kota Marudu Tahun 2025 di Padang Pekan Kota Marudu kelmarin.
Majlis perasmian dirasmikan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Kota Kinabalu, Abdul Manap Abdul Ruhim.
Redonah turut mengajak rakyat pelbagai bangsa dan agama supaya menjadikan amalan musyawarah sebagai satu daripada ciri penduduk di negeri ini.
Katanya, amalan itu akan melahirkan masyarakat saling bekerjasama dan hormat menghormati antara satu sama lain, sekali gus mewujudkan masyarakat penyayang.
“Amalan itu perlu menjadi budaya masyarakat Malaysia supaya negara terus kekal aman dan rakyat dapat hidup dalam suasana harmoni,” ujarnya.
Dalam majlis itu, Tokoh Maulidur Rasul dinobatkan kepada Datuk Redonah Bahanda, manakala Tokoh Pendakwah, Ustaz Mohd Fadzril Jainil dan Tokoh Pendakwah Wanita, Natidah Zubair.
Sementara itu, pemenang Pertandingan sepanduk untuk kategori Kementerian/Jabatan; Jabatan Kerja Raya, kategori komuniti; Masjid Nur Syifa Kg. Ongkilan, kategori pertubuhan/persatuan; Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Kg. Simpangan, kategori sekolah menengah ; SMK Bandau, kategori sekolah rendah ; SK Langkon.