KOTA KINABALU: Program Bantuan Penajaan dan Latihan Institusi Vokasional (VISTA) yang dipertingkatkan kepada model baharu, VISTA i-Plus, diyakini mampu memperkukuh pembangunan bakat belia Sabah dalam sektor minyak dan gas.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, inisiatif yang diterajui PETRONAS itu direka khusus untuk memastikan ketersediaan profesional mahir bukan sahaja untuk syarikat berkenaan, malah untuk keseluruhan ekosistem industri minyak dan gas.
“Saya difahamkan mulai tahun ini, Program VISTA ini telah dipertingkatkan sebagai VISTA i-Plus, model yang lebih bersepadu dan diterajui industri yang direka khusus untuk memastikan ketersediaan profesional mahir bukan sahaja untuk PETRONAS, tetapi untuk ekosistem minyak dan gas secara amnya.

“VISTA i-Plus ini merupakan inisiatif pembangunan bakat yang menggabungkan kurikulum akademik dengan latihan berasaskan industri, pembelajaran berorientasikan projek sebenar, serta pendedahan kepada teknologi dan amalan terkini dalam sektor tenaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Kimanis Petroleum Training Centre (KTC) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Arifin berkata, program itu juga menekankan aspek kebolehpasaran graduan, dengan memberi peluang untuk kolaborasi rapat bersama industri, peningkatan kemahiran insaniah (soft skills), dan persediaan menghadapi cabaran tenaga kerja global.
“Sokongan ini bukan sahaja membolehkan belia Sabah menimba ilmu dan kemahiran, tetapi juga memastikan pembangunan tenaga kerja tempatan yang berkualiti, berdaya saing di peringkat antarabangsa serta menyumbang kepada ekonomi negeri,” katanya
Dalam majlis tersebut seramai 20 graduan yang berjaya menamatkan pengajian Diploma Kemahiran Malaysia dalam bidang Instrumentasi Perindustrian & Sistem Kawalan – Penyeliaan dan Kawalan selama tiga tahun di KTC.
Menurut Arifin, KTC terus unggul sebagai institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang melahirkan graduan berkualiti serta bersedia melangkah ke alam pekerjaan dengan penuh keyakinan.
“Di sinilah graduan KTC memainkan peranan yang amat penting, khususnya bagi Sabah dengan latihan teknikal dan vokasional atau TVET yang komprehensif, pengalaman praktikal di bengkel dan industri, serta pendedahan kepada standard keselamatan terkini.
“Graduan KTC bukan sahaja bersedia menghadapi cabaran industri, malah mampu menjadi pemimpin masa depan yang profesional, inovatif dan memberi impak positif kepada pembangunan negeri serta negara,” jelasnya.