BERNAMA
Kuala Lumpur : Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini menafikan bahawa seorang ejen pelaburan Public Mutual Berhad telah meminta supaya wang pengenalan RM3 juta dikurangkan kepada RM2.8 juta.
Bung Moktar, 65, yang merupakan saksi pembelaan pertama berkata demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How pada perbicaraan kes rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan beliau dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Law menyoal sama ada beliau bersetuju bahawa ejen pelaburan Norhaili Ahmad Mokhtar ada meminta Zizie Izette supaya mengurangkan jumlah itu daripada RM3 juta kepada RM2.8 juta namun Zizie Izette meminta Norhaili menyampaikan sendiri perkara itu kepada Bung Moktar.
Bung Moktar menafikan dakwaan itu dan berkata: Tidak setuju, tidak betul… itu sangkaan jahat.
Law turut mencadangkan bahawa Norhaili ada memaklumkan Bung Moktar bahawa beliau perlu menanggung kos-kos lain dan hanya mampu memberikan RM2.8 juta namun Bung Moktar sekali lagi mengatakan perkara itu tidak benar.
Bung Moktar juga tidak bersetuju dengan cadangan Law bahawa beliau memberi arahan supaya isterinya yang menguruskan wang tersebut.
Bagaimanapun, Pengerusi Barisan Nasional Sabah itu bersetuju dengan cadangan Law bahawa wang yang diterima isterinya adalah wang pengenalan mengikut prosedur Public Mutual.
Namun, Bung Moktar tidak bersetuju dengan cadangan pihak pendakwaan bahawa Zizie Izette boleh menerima wang RM2.8 juta disebabkan jawatan beliau pada ketika itu sebagai Pengerusi Felcra.
Ketika ditanya sama ada beliau bersetuju bahawa Zizie Izette dikatakan terkejut apabila menerima RM2.8 juta daripada Norhaili dan seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Madhi Abdul Hamid, Bung Moktar menjawab beliau tidak pasti.
Semasa ditanya Law adakah wang RM2.8 juta yang diterima Zizie Izette adalah durian runtuh, Bung Moktar menjawab: Itu saya tidak pastilah… durian runtuh atau tidak.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Beliau dituduh menerima rasuah daripada Madhi menerusi Zizie Izette, 46, di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015.
Selain itu, beliau didakwa menerima suapan RM337,500 daripada Norhaili melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Zizie Izette pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda sama, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung 26 Sept ini.