MEMBAKUT: Kerajaan negeri terus memperkasakan bidang pendidikan dengan menyediakan biasiswa kepada 5,000 pelajar pada tahun ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd Arif berkata mana-mana pelajar yang tidak berjaya mendapatkan biasiswa berkenaan, boleh memohon biasiswa lain menerusi Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS).

“Kerajaan negeri amat menitikberatkan masa depan anak-anak Sabah. Setakat ini, lebih RM1.3 bilion telah dibelanjakan khusus untuk pendidikan sepanjang lebih empat tahun pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
”Tahun ini kita sediakan untuk 5,000 orang anak Sabah untuk mendapat biasiswa kerajaan negeri Sabah, selebihnya kalau ada masalah kita akan bantu melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah dan banyak lagi bantuan kita untuk anak-anak kita, jangan bimbanglah.
“Mana yang berhalangan atau tidak dapat di biasiswa kerajaan negeri boleh memohon Yayasan Sabah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan TPNS,” katanya.
Beliau ditemui media dalam Majlis Jejak Menara Gading Kali Ke-17 DUN Membakut Siri 2 Tahun 2025 di sini, pada Isnin.
Arifin yang juga Exco Agama dan Exco Pendidikan Negeri Sabah berkata, kerajaan juga menyediakan inisiatif lain antaranya, Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) kepada 10,000 anak Sabah yang melanjutkan pengajian ke IPT awam dan swasta di seluruh Malaysia dan luar negara sepenuh masa bagi kemasukan kali pertama.
Menurutnya, permohonan tersebut boleh dibuat secara atas talian kepada Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tigas-Tugas Khas) di pautan https://budi.sabah.gov.my/.
“Ada dua sesi dan yang penting sekurang-kurangnya sebagai kenang-kenangan untuk anak-anak kita yang akan melanjutkan pengajian ke IPT dan IPTS.
“Ini bagi peringkat bantuan di DUN Membakut tetapi peringkat negeri memang kita sudah menyediakan peruntukan yang besar untuk anak-anak kita melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
“Hari ini lebih 100 orang, tapi sesi pertama beberapa bulan yang lalu, 100 orang juga. Ertinya, lebih 200 anak kita melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Tapi ada lagi yang akan datang, kita akan bantu mereka sehingga selesai,” katanya.
Sementara itu, pelajar Kursus Sains Politik dan Pemerintahan, Rollend Anddy, 18, amat menghargai bantuan yang dapat mengurangkan beban keluarga untuk menampung perbelanjaannya di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
“Bantuan kewangan ini sangat-sangat membantu saya dan keluarga untuk menampung keperluan pembelajaran saya, terima kasih banyak,” katanya.
Bantuan sama turut meringankan beban ibu kepada enam orang anak, Connie Gundongoh, dari Kg. Kiulu Baru mewakili anaknya yang bakal mendaftar sebagai pelajar di UMS pada 28 September ini.
“Saya sangat berterima kasih kepada Datuk AA (Arifin Arif), bantuan kewangan ini sangat membantu terutama untuk menjelaskan yuran pengajian. Ini adalah anak saya yang keempat dibantu oleh beliau,” katanya.
Bagi Imam Rawatib Masjid Cahaya Iman Kg. Brunei, Yuslee Mohd Yusuf pula, bantuan yang diterimanya itu diharap dapat diteruskan untuk membantu lebih ramai pelajar dalam kalangan keluarga B40 dan keluarga miskin.
Dia mewakili anaknya yang kini melanjutkan pelajaran dalam kursus Dakwah dan Pengurusan di Universiti Islam Antarabangsa.-