HomeUtamaBomba komuniti Kampung Titingan terima sumbangan PPE kalis api

Bomba komuniti Kampung Titingan terima sumbangan PPE kalis api

Read Time:1 Minute, 20 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Komitmen tinggi Pasukan Bomba Komuniti Kampung Titingan dalam membantu memadam kebakaran di daerah ini terus mendapat perhatian apabila mereka menerima sumbangan sebanyak 10 helai pakaian perlindungan diri (PPE) kalis api.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Pasukan Bomba Komuniti Kampung Titingan terdiri daripada barisan sukarelawan yang sentiasa bersiap sedia membantu JBPM dalam menangani kebakaran di sekitar daerah ini.

“Penyampaian PPE ini bukan sahaja sebagai bentuk penghargaan atas pengorbanan mereka, tetapi juga sebagai suntikan semangat untuk terus berkhidmat kepada masyarakat;

“Saya sendiri turut menyumbangkan sebanyak tiga set kelengkapan tersebut,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan peralatan keselamatan itu dalam satu majlis ringkas di Masjid Babul Khair, Kampung Titingan baru-baru ini.

Sumbangan berkenaan adalah hasil kerjasama pemimpin setempat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Jainal; ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Suryady Bandy dan ADUN Balung, Datuk Hamild Awang.

Nizam yang juga ADUN Apas menegaskan bahawa kewujudan pasukan bomba komuniti sangat penting kerana ia memberi sokongan segera kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), khususnya di kawasan padat penduduk yang terdedah kepada risiko kebakaran.

“Kehadiran sukarelawan dapat membantu mengurangkan risiko, mempercepatkan kawalan kebakaran serta memastikan keselamatan orang ramai lebih terjamin sebelum bantuan penuh tiba,” ujarnya.

Menurutnya, semangat kental yang ditunjukkan pasukan Bomba Komuniti Titingan wajar dijadikan contoh kepada kampung lain agar turut menubuhkan pasukan sukarelawan masing-masing.

“Kita mahu Titingan menjadi ikon kebersamaan dan kesiapsiagaan, sekali gus memperluas jaringan sukarelawan di seluruh kawasan Tawau. Saya juga merakamkan penghargaan kepada semua pemimpin setempat yang berganding bahu dalam menyokong inisiatif ini demi keselamatan penduduk,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah rangkul juara Debat Generasi MADANI peringkat kebangsaan 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular