HomeUtamaDua 'Datuk' antara lima individu ditahan Ops Karen seleweng diesel RM247 juta

Dua ‘Datuk’ antara lima individu ditahan Ops Karen seleweng diesel RM247 juta

Read Time:1 Minute, 15 Second

PUTRAJAYA: Dua individu bergelar ‘Datuk’ antara tujuh yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Ops Karen membabitkan sindiket penyeludupan diesel di Sabah dan Sarawak, dengan anggaran kerugian hasil negara mencecah RM247 juta dalam tempoh 10 tahun.

Memetik laporan media MalaysiaGazette hari ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, mereka terdiri daripada dua Datuk, empat pengarah syarikat dan dua pengurus, ditahan dalam operasi sejak 2 hingga 8 September lalu.

Beliau menjelaskan, sindiket licik itu menggunakan syarikat sah berlesen sebagai ‘topeng’, namun disokong oleh rangkaian syarikat rahsia serta elemen kongsi gelap.

“Syarikat ini berlesen tetapi menyalahgunakan lesen mereka untuk tujuan penyeludupan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.

Menurut Azam, modus operandi termasuk mengumpul minyak daripada nelayan sebelum dipindahkan secara tidak sah menggunakan kemudahan logistik seperti tanker di lokasi strategik, antaranya Bintulu, Sarawak. Kegiatan ini didakwa beroperasi secara sistematik bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Siasatan turut melibatkan kerjasama Bank Negara Malaysia, NFCC, LHDN dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Akaun syarikat serta individu terbabit kini diaudit hingga 10 tahun ke belakang bagi mengesan pengubahan wang haram, pengelakan cukai dan salah guna subsidi.

Azam tidak menolak penglibatan penjawat awam, malah mengesahkan sindiket ini pernah memenangi tender pembekalan diesel kepada anak syarikat kerajaan negeri sejak 10 tahun lalu dengan menawarkan harga lebih rendah hasil penyelewengan subsidi.

Beliau berkata, tindakan lanjut termasuk pendakwaan, penyitaan aset, menyenarai hitam syarikat terlibat dan menarik balik kelulusan subsidi.

“Jumlah kerugian dijangka lebih besar selepas siasatan forensik kewangan selesai,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan kekalkan Harga Petrol Ron95 Dalam Tempoh Terdekat Selepas Perlaksanaanya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular