HomeUtamaTukar MyKad rosak percuma mulai esok hingga 7 Oktober

Tukar MyKad rosak percuma mulai esok hingga 7 Oktober

Read Time:1 Minute, 6 Second

PUTRAJAYA : Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menukar cip MyKad yang rosak secara percuma bermula esok sehingga 7 Oktober depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, inisiatif itu seiring dengan pelaksanaan program BUDI95 yang diumumkan Perdana Menteri hari ini.

Katanya, ia adalah bagi memastikan rakyat tidak terhalang menikmati subsidi kerajaan hanya kerana masalah teknikal pada MyKad.

“Kerajaan Madani menanggung sepenuhnya kos penukaran MyKad rosak sepanjang tempoh ini. 

“Langkah ini menunjukkan keprihatinan kerajaan agar akses rakyat kepada subsidi BUDI95 tidak sekali-kali terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, penukaran boleh dilakukan di semua pejabat dan kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara.

Sementara itu, Saifuddin berkata, berdasarkan rekod JPN, sebanyak 294,715 permohonan penggantian MyKad rosak direkodkan dari Januari hingga Ogos 2025, dengan jumlah meningkat ketara sejak tiga bulan kebelakangan – 32,819 (Jun), 40,371 (Julai) dan 45,411 (Ogos).

“Bagi September sahaja, setakat 21 haribulan, JPN sudah menerima 22,858 permohonan. 

“Berdasarkan purata semasa, kerajaan menganggarkan kos penukaran percuma itu mencecah RM714,660,” katanya.

Saifuddin menyeru rakyat menjaga MyKad dengan baik kerana ia bukan sahaja dokumen pengenalan diri, tetapi juga kunci kepada pelbagai kemudahan kerajaan.

“Kerajaan Madani berpegang kepada prinsip kepedulian dan inklusiviti, memastikan setiap rakyat mendapat manfaat tanpa ada yang tercicir,” katanya. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

Bantuan, pampasan insurans untuk keluarga mangsa tanah runtuh

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular