HomeUtamaPolis siasat kes pembocoran maklumat kanak-kanak di media sosial

Polis siasat kes pembocoran maklumat kanak-kanak di media sosial

Read Time:1 Minute, 55 Second

KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu sedang menjalankan siasatan berhubung satu kes pendedahan dan pembocoran maklumat kanak-kanak melalui media sosial yang dilaporkan 19 September lalu kira-kira jam 4.15 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Setakat ini polis telah merakam percakapan pengadu dan membuat permohonan analisis kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Dalam masa yang sama, pihak kami sedang berusaha mendapatkan rakaman percakapan pihak pendakwa raya (TPR) serta peguam yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, usaha turut dijalankan untuk mengesan suspek dan melengkapkan keseluruhan siasatan sebelum dirujuk kepada pihak berkaitan bagi tindakan lanjut.

“PDRM menegaskan bahawa sebarang pendedahan atau penyebaran maklumat berkaitan kanak-kanak, khususnya melalui platform media sosial, merupakan satu kesalahan serius yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Justeru orang ramai diingatkan agar lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam mengendalikan maklumat sedemikian demi menjaga keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak,” tegasnya.

Sementara itu, laporan Free Malaysia Today semalam melaporkan peguam dan bekas Presiden Majlis Peguam, Salim Bashir, yang menyifatkan tidak wajar sebarang kenyataan awam dibuat mengenai isu yang sedang dalam pertimbangan kehakiman kecuali sebagai komen adil.

“Sesetengah kenyataan boleh mencetuskan rasa marah dan kekecewaan, sekali gus membenarkan khabar angin tidak berasas tersebar,” katanya.

Manakala Presiden Majlis Peguam ketika ini, Ezri Abdul Wahab, dalam laporan yang sama pula memberi amaran bahawa spekulasi mengenai kes itu boleh mengganggu misi pencarian fakta dengan mewujudkan tekanan tidak wajar terhadap penyiasat atau koroner.

“Ia juga boleh menakutkan saksi, yang mungkin berasa keterangan mereka telah dipolitikkan atau diprejudis,” katanya lapor portal itu lagi.

Terdahulu, Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dilaporkan mempertikaikan tempoh panjang prosiding inkues berkenaan dalam satu rakaman video yang tular. Beliau mendakwa Zara bukan mangsa buli tetapi dibunuh.

Semalam, Peguam Negara, Datuk Seri Dusuki Mokhtar, turut mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu prosiding inkues berkenaan.

Dan pagi ini, Koroner Mahkamah Kota Kinabalu mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Presiden Warisan Shafie Apdal kerana menghina mahkamah, susulan kenyataan mengenai inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

Ia berkait kenyataan Shafie dibuat pada majlis ‘Jelajah Inspirasi DSSA P187 Kinabatangan’, di Sandakan, pada 20 Sept.

RELATED ARTICLES
Utama

5,000 biasiswa disedia, pelajar boleh mohon TPNS, BUDI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular