KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Parti Gabungan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Fairuz Renddan menegaskan bahawa usaha Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam memberi bantuan kepada rakyat adalah usaha yang dibuat kerana memegang mandat, bukan sebab meniru mana-mana pihak.
“Siapa cakap bila jadi kerajaan, kita bagi bantuan atau tolong rakyat sebab tiru kerajaan lepas, tiru idea orang atau curi dasar orang.
“Sejak bila pula kerajaan curi idea orang bila buat kerja dengan memberikan bantuan dan menyelesaikan masalah rakyat?
“Kalau tidak ada modal untuk menghentam, mengecam dan menghina, lebih baik diam saja, daripada buat dosa,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan itu juga, usaha murni yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri adalah usaha berterusan yang dilaksanakan sejak awal mengambil alih tampuk pemerintahan dan bukan sekadar ‘gula-gula’ politik semasa musim pilihan raya.
“Jangan cakap Kerajaan Negeri bagi bantuan untuk rakyat sebab mahu pamer imej baik kerana hampir musim pilihan raya.
“Jangan sembarangan menuduh semua usaha murni Kerajaan Negeri sebagai ‘gula-gula’ politik untuk memancing undi.
“Daripada hari-hari buat fitnah, bagus sama-sama kita semua kerja tolong rakyat, apatah lagi musim sekarang, kita dilanda musibah, rakyat banyak susah, ini fokus kita, bantu ringankan musibah rakyat, bukan kejar publisiti muruhan,” katanya.
Dalam pada itu, Fairuz turut berkongsi bahawa hala tuju Kerajaan Negeri sedia ada adalah untuk menyampaikan semua yang dirancang untuk rakyat, semaksimum yang mungkin, selagi masih memegang mandat.
“Selagi masih menjadi pentadbir, inilah tanggungjawab kita, kerja untuk rakyat, turun padang dengar dan lihat apa sedang rakyat di bawah sana alami.
“Mereka berduka, bersedih, perik menjadi tabah untuk menghadapi musibah.
“Sungguh biadap jika ada pihak yang menjadikan musibah ini sebagai satu faktor untuk menimbulkan isu, memburukkan dan mengeji segala usaha Kerajaan Negeri,” tambahnya lagi.
Selain itu, Fairuz turut memberitahu bahawa usaha Kerajaan Negeri dalam memfokuskan pembangunan serta kemajuan intelektual anak negeri Sabah jelas dipamerkan dalam semua pelan dan tabung pendidikan.
“Ada pelbagai bantuan pendidikan untuk anak Sabah seperti Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah, Tabung Pendidikan Negeri Sabah, dan bantuan lain seperti SUBFLY, BUDI, BAIK dan BISTARI.
“Semua ini adalah fokus untuk memastikan modal insan kita, anak-anak Sabah dapat disokong dan dibantu dari peringkat sekolah hingga institusi pengajian tinggi.
“Ini semua kerana kita peka, Kerajaan Negeri peka dan mahu anak-anak Sabah mendapat ruang dan dibantu sebaiknya dalam aspek pendidikan,” katanya lagi.
Fairuz turut menyeru semua pihak untuk menjadi pengguna media sosial yang berhemah dan mengelakkan daripada terjebak dengan pelanggaran etika semasa menggunakan media sosial.
“Kita guna media sosial secara bijak, guna untuk tambah input sendiri, untuk hiburan, untuk kerja, tapi elakkan daripada guna media sosial untuk cari musuh.
“Kadang-kadang, dalam persekitaran media sosial yang terlebih canggih sekarang, semua orang masing-masing mahu jadi pakar dan serba tahu.
“Malangnya, masih dangkal dan penuh emosi, sungguh memalukan kerana kita ada adab dan nilai murni yang harus dipegang,” ujar Fairuz lagi.