Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Saksi kanak-kanak pertama mula memberi dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir, hari ini, yang memasuki hari ke-11 prosiding.
Prosiding yang berlangsung secara in camera (tertutup) bermula sekitar jam 10 pagi.
Saksi berkenaan memberi keterangan secara in camera (tertutup) di bawah Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007 (ECWA), yang secara jelas menyatakan sekatan terhadap laporan dan penyiaran media.
Di bawah ECWA, tiada seorang pun boleh mendedahkan atau menyiarkan apa-apa butir dalam mana-mana media massa atau menghantar melalui apa-apa perantara elektronik yang boleh membawa kepada pengenalpastian saksi kanak-kanak, terutamanya nama dan alamat saksi kanak-kanak itu, serta nama dan butir-butir lain institusi pendidikan yang dia hadiri.
Gambar saksi kanak-kanak atau mana-mana orang lain, tempat atau benda yang boleh membawa kepada pengenalpastian saksi
kanak-kanak dalam prosiding tidak boleh disiarkan dalam mana-mana media massa atau dihantar melalui apa-apa perantara elektronik.
Bagi prosiding in camera, saksi ditempatkan di bilik saksi bersama seorang jurubahasa dan seorang pendamping pilihan mereka.
Pada pendengaran Jumaat, Mahkamah Koroner telah menetapkan hanya mereka yang terlibat secara langsung dibenarkan menghadiri prosiding yang dijalankan secara in camera, termasuk pihak berkepentingan serta wakil Sabah Law Society (SLS) dan Kementerian Pendidikan yang hadir sebagai peguam pemerhati.
Koroner Amir Shah Amir Hassan berkata semua pihak termasuk dirinya dan pegawai pengendali tidak perlu memakai pakaian rasmi.
Setakat ini, lapan saksi dewasa telah memberi keterangan dalam prosiding yang melibatkan lebih kurang 68 saksi termasuk lebih 30 saksi kanak-kanak.