KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan sistem subsidi bersasar petrol RON95 atau lebih dikenali sebagi Budi Madani RON95 (BUDI95) akan bermula 30 September ini.
Katanya, BUDI95 akan memberi manfaat kepada kepada rakyat tempatan tanpa mengambil kira tahap pendapatan pada harga RM1.99 seliter berbanding harga semasa RM2.05 seliter pada masa kini.
“Kerajaan MADANI telah mengotakan komitmennya untuk melaksanakan penyasaran subsidi RON95 dan mengurangkan harga petrol RON95 untuk rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia dapat membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter mulai 30 September 2025.
“Bagi golongan yang tidak layak, seperti bukan warganegara, mereka akan membeli RON95 pada harga yang akan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan pada tahap tanpa subsidi, dianggarkan sekitar RM2.60 seliter,” katanya.
Perdana Menteri berkata, semua warganegara, tanpa mengira tahap pendapatan, yang mempunyai lesen memandu aktif akan layak menikmati manfaat BUDI95 secara automatik.
“Penjimatan daripada peralihan kepada BUDI95 ini akan diagihkan semula untuk manfaat rakyat seperti melalui bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Namun, tumpuan Kerajaan kekal kepada menambah baik perkhidmatan kesihatan, pendidikan, dan prasarana asas,” tambah beliau.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, rakyat Malaysia layak menggunakan petrol RON95 sebanyak 300 liter sebulan di bawah inisiatif BUDI95, namun bagi pemandu e-hailing, mereka dikecualikan daripada had terbabit serta boleh memohon untuk had lebih tinggi.
Mengenai mekanisme penggunaan BUDI95, beliau berkata, rakyat dinasihatkan supaya semak cip MyKad supaya berfungsi dan memiliki lesen memandu sah.
“Seperti SARA, tiada pendaftaran diperlukan untuk BUDI95, hanya perlu menggunakan MyKad untuk mendapat harga bersubsidi. Hampir serupa dengan proses transaksi semasa, hanya tambah satu langkah pengesahan MyKad diikuti proses biasa untuk membayar.
“Disediakan pembaca MyKad di dalam kedai dan juga di pam minyak bagi mengurangkan risiko kesesakan. Untuk mereka yang celik digital, terdapat opsyen digital seperti TouchNGo dan aplikasi syarikat minyak seperti Setel, supaya tidak memerlukan MyKad setiap transaksi,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan, Malaysia menjadi satu-satunya negara yang berani mengambil langkah menurunkan harga minyak bagi rakyatnya dan tidak untuk warga asing.
“Ini dasar dilakukan dalam keadaan negara masih terbeban dengan hutang yang kita warisi, tetapi ia dapat dilakukan kerana kita lihat ada tahap kecekapan yang baik, hasil lebih baik.
“Mengelakkan daripada ketirisan yang pernah berlaku atau kelompok yang besar umpamanya penyeludupan yang mengelak daripada pembayaran cukai, ini kalau dapat dikurangkan maka pulangan kepada rakyat itu lebih baik,” katanya.
Pelaksanaan program BUDI95 akan dijalankan secara berperingkat untuk memastikan kelancaran sistem tanpa lonjakan penggunaan yang mendadak:
Pada 27 September 2025, sistem BUDI95 dibuka awal kepada 300,000 anggota tentera dan polis dan pada 28 September 2025, sistem BUDI95 dibuka awal kepada penerima STR yang merupakan golongan B40.
Manakala pada 30 September 2025, sistem BUDI95 dibuka kepada 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif.