KOTA KINABALU: Jabatan Peguam Negara menegaskan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan atau melakukan perbuatan yang boleh mengganggu perjalanan prosiding mahkamah.
Dalam satu kenyataan hari ini, jabatan itu berkata ia memandang serius kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berhubung kes Zara Qairina semasa berucap di majlis Jelajah Inspirasi DSSA P187 Kinabatangan pada 20 September lalu.
Menurut kenyataan itu, kenyataan sedemikian berpotensi menimbulkan persepsi tidak tepat dalam kalangan masyarakat serta menjejaskan kelancaran prosiding mahkamah yang sedang berlangsung.
“Sehubungan itu, Jabatan ini sedang meneliti dengan terperinci setiap kandungan kenyataan tersebut dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas menurut peruntukan undang-undang, termasuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah setelah penelitian tersebut selesai,” katanya.
Jabatan itu turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan kekeliruan atau mengganggu kelancaran prosiding mahkamah yang masih berjalan.