HomeUtamaTahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

Read Time:1 Minute, 57 Second

KUALA LUMPUR,  — Tahap pengetahuan kesihatan rakyat Malaysia masih berada pada tahap yang membimbangkan apabila hanya sepertiga rakyat mencapai tahap cemerlang dalam kesedaran mengenai amalan hidup sihat.

Menteri Kesihatan,Datuk Seri Dr Dzulkely Ahmad berkata berdasarkan Indeks Gaya Hidup Sihat Malaysia (Malaysian Healthy Lifestyle Index), 39 peratus rakyat berada pada tahap rendah, 29 peratus sederhana dan hanya 32 peratus pada tahap tinggi.

“Keadaan ini menunjukkan rakyat masih kurang menghayati gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian. Pengetahuan yang ada belum diterjemahkan kepada amalan, sama ada dari segi pemakanan mahupun gaya hidup aktif,” katanya ketika melancarkan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) 2025 di Aeon Mall, di sini hari ini.

Katanya, BMSS diadakan setiap September sebagai peringatan kepada rakyat mengenai kepentingan kesihatan, bukan sekadar untuk sebulan tetapi untuk diamalkan sepanjang tahun.

Beliau menjelaskan, penganjuran tahun ini menampilkan kelainan dengan memperkenalkan inisiatif “Mall Walking” di 28 Eon Mall seluruh negara sebagai cara mudah membudayakan aktiviti sihat sambil membeli-belah.

“Pusat beli-belah boleh menjadi ruang untuk ibu bapa, anak-anak dan keluarga kekal aktif. Inisiatif seperti Mall Walking membolehkan rakyat beriadah secara rutin sekali gus mengurangkan gaya hidup sedentari,” katanya.

Menteri Kesihatan berkata, pihaknya mahu BMSS menjadi usaha seluruh masyarakat melalui pendekatan “whole of nation”, bukan hanya terhad kepada kementerian atau agensi kerajaan.

Sementara itu, mengulas mengenai situasi banjir di Sabah, beliau memaklumkan bahawa sebanyak lapan daerah di negeri itu terjejas akibat banjir dan kejadian tanah runtuh baru-baru ini, membabitkan sembilan fasiliti kesihatan.

“Daripada jumlah itu, lapan fasiliti telah kembali beroperasi sepenuhnya, manakala satu fasiliti masih belum dapat beroperasi,” katanya.

Menurutnya, fasiliti yang masih ditutup ialah Klinik Desa (KD) Gadong di Papar, namun semua pesakit telah dipindahkan sementara ke Klinik Kesihatan Bongawan bagi memastikan kesinambungan rawatan dan perkhidmatan kesihatan tidak terjejas.

Tambah Dr Dzulkefly, antara fasiliti yang turut kembali beroperasi ialah KD Gadong, KD Padas Lamit, KD Bangkalalak dan KD Lingkungan di Beaufort, selain KK Membakut, KD Sinoko, KD Pantai serta KK Mendulong di Sipitang.

Di Penampang, sebanyak 14 lokaliti terlibat sejak 11 September dengan satu kejadian di Kampung Sarapung mengorbankan seorang mangsa. Namun, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan di lokaliti lain.

Kerajaan Persekutuan melalui KKM dan agensi berkaitan memberi jaminan akan terus menyalurkan bantuan serta memastikan perkhidmatan kesihatan di kawasan terjejas dapat dipulihkan segera.

Bencana tanah runtuh turut dilaporkan di tiga daerah iaitu Penampang, Kota Kinabalu dan Papar, sebelum ini.

RELATED ARTICLES
Utama

Komuniti geosains perlu terajui masa depan Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular