KOTA KINABALU : Seramai 188 atlet dan pegawai akan menggalas cabaran Sabah ke dua temasya besar di Kuching, Sarawak bermula minggu hadapan, iaitu Sukan Borneo 2025 dan Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2025.
Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin berkata, kontinjen negeri membariskan 116 atlet dan pegawai untuk Sukan Borneo yang berlangsung dari 24 hingga 28 September.
Katanya, baki 72 lagi akan menyertai SOPMA pada 2 hingga 6 Oktober
“Sabah akan bertanding dalam enam acara di Sukan Borneo iaitu renang, olahraga, boling padang, memanah, badminton serta sukan tradisi tarik tali.
“Manakala di SOPMA, kontinjen Sabah akan beraksi dalam lima acara iaitu badminton, orientering, futsal, olahraga dan tenpin boling,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bendera Negeri Sabah di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri, Datuk Fairuz Renddan.
Ellron turut menyeru para atlet agar berjuang dengan penuh semangat dan menjaga disiplin sepanjang kejohanan.
Beliau turut menegaskan bahawa Sabah merupakan juara bertahan SOPMA selepas kejayaan membanggakan pada edisi 2023 di Kuala Lumpur dengan kutipan 17 pingat emas, 15 perak dan tujuh gangsa.
“Saya yakin kontinjen Sabah telah melakukan persiapan terbaik dan mampu membawa pulang kejayaan sekali lagi.
“Bertandinglah dengan sepenuh tenaga dan jangan sesekali mengaibkan nama negeri kita. Sabah Pasti Boleh!,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pegawai pengiring supaya memberi perhatian kepada aspek keselamatan, kebajikan serta semangat setia kawan dalam kalangan atlet sepanjang berada di Kuching.
Sukan Borneo yang kembali dianjurkan selepas kali terakhir pada 2013 bakal menghimpunkan enam kontinjen iaitu Sabah, Sarawak, Labuan, Brunei Darussalam, Kalimantan Barat dan Kalimantan Timur.
Majlis penyerahan bendera tersebut turut dihadiri Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah merangkap Ketua Kontinjen, Datuk Mansur Asun; Pengerusi Lembaga Sukan Negeri Sabah, Masly Ansilau; Pengurus Besar LSNS, Terrance Edward Pudin; Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah, Mohd Asneh Mohd Noor dan Presiden Persatuan Orang-Orang Pekak Sabah, Spencer Soo. – Chronivo