Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Komuniti geosains negara diminta memainkan peranan lebih besar dalam membentuk masa depan Malaysia yang mampan dan berdaya tahan, kata Presiden Persatuan Geologi Malaysia (GSM), Geol. Prof. Madya Dr. Meor Hakif Amir Hassan.

Beliau menegaskan, ahli akademik, penyelidik, pengamal industri serta agensi kerajaan yang terlibat dalam bidang geosains perlu memperkukuh kerjasama bagi memastikan pengetahuan yang dimiliki dimanfaatkan secara beretika dan memberi impak tinggi kepada pembangunan negara.
“Sebagai komuniti geosains, kita bertanggungjawab memperluas pemahaman tentang bumi dan memastikan ilmu yang diperoleh diterjemahkan ke dalam dasar, penyelidikan mahupun amalan industri yang lestari.
“Setiap individu di sini mempunyai peranan penting dalam membentuk Malaysia yang lebih mampan dan berdaya tahan,” katanya dalam ucapan perasmian penutupan Persidangan Geosains Kebangsaan (NGC) 2025 di sini semalam.
Hadir sama ialah Prof. Dr. Rodeano Roslee (UMS); Dr. Frederick Francis Tating (JMG Sabah); Prof. Dr. Mohd. Fakhrurrazi Ishak (UMP Al-Sultan Abdullah), serta Dr. Hervé Traineau (CFG Geothermal).
Persidangan edisi ke-38 itu berlangsung dari 18 hingga 20 September dengan tema “Earth, Energy and Environment: Navigating the Future”.
Ia menghimpunkan pelbagai pihak daripada sektor akademik, profesional dan kerajaan untuk membincangkan isu kritikal termasuk perubahan iklim, teknologi tenaga masa depan, pembangunan sumber mineral, tenaga boleh diperbaharui, keselamatan air, geotourism, geofizik serta pengurangan risiko bencana.
Dr. Meor Hakif berkata, platform seperti NGC menjadi pemangkin penting bagi memupuk budaya perkongsian ilmu, membina jaringan kerjasama serta meneroka penyelesaian inovatif dalam menghadapi cabaran global.
“Harapan saya ialah setiap peserta pulang dengan ilmu baharu, semangat diperbaharui serta kerjasama yang lebih kukuh untuk menjadikan geosains sebagai pemacu kemajuan negara,” katanya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Lembaga Ahli Geologi Malaysia (BOG), Institut Geologi Malaysia (IGM), penceramah, penaja serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan persidangan tersebut.
NGC 2025 turut menampilkan penceramah utama tersohor dari dalam dan luar negara serta diakhiri dengan lawatan teknikal ke Southsea Gold Sdn. Bhd., Wullersdorf Resources Sdn. Bhd. dan geotapak Columnar Basalt Balung Cocos.