KOTA KINABALU : Sebanyak 180 kilogram sisa elektrik dan elektronik (e-waste) berjaya dikumpul daripada masyarakat setempat menerusi program Trash to Treasure x Oceaners Assemble 4.0.
Program anjuran Rakan Alam Sekitar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Student Chapter (RAS UiTM SC) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar Sabah, Legenda Bumimas Sdn Bhd dan 99 Speedmart itu diadakan di Taman Indah Permai dengan penglibatan lebih 20 sukarelawan mahasiswa.

Pengumpulan e-waste dijalankan melalui dua kaedah iaitu kutipan pandu lalu dan rumah ke rumah.
Ia turut disertai sesi penerangan ringkas kepada penduduk mengenai bahaya e-waste jika dibuang sembarangan.
Antara barangan yang dikumpulkan termasuk televisyen, komputer riba, periuk nasi elektrik, pengisar dan pengering rambut.
Pengarah program, Muhammad Irfan Daniel Ismail, berkata pencapaian ini membuktikan masyarakat semakin sedar mengenai kepentingan melupuskan e-waste secara bertanggungjawab.

“Program ini bukan hanya mengutip barangan terbuang, tetapi membuka mata semua pihak tentang tanggungjawab kita terhadap alam sekitar,” katanya.
Menurutnya, walaupun hujan lebat melanda, program tetap mendapat sambutan baik daripada penduduk setempat yang menyambut inisiatif mahasiswa dengan penuh sokongan.
Pihaknya berharap program ini dapat dijadikan aktiviti tahunan dan diperluaskan ke kawasan lain di Sabah.
Menurutnya ia sekali gus menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) serta membina masyarakat yang lebih cakna terhadap isu kelestarian alam sekitar. – Chronivo