BEAUFORT : Seramai 491 keluarga yang terkesan akibat banjir di kawasan Lumadan menerima bantuan bakul makanan bagi meringankan beban mereka selepas lebih seminggu terputus hubungan jalan.
Agihan itu disempurnakan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam.
Ia turut mendapat kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Lumadan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Dua lokasi utama menjadi fokus agihan ialah Dewan Kg Bangkalalak yang melibatkan enam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), serta Dewan Perpaduan DHRM Kg Mantulud yang melibatkan tiga JKKK.
Ruslan berkata, kawasan berkenaan diberi keutamaan kerana mengalami banjir berpanjangan hampir 13 hari.
“Malah ada kampung yang terputus hubungan jalan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat, para belia serta pemimpin masyarakat Zon Bangkalalak yang membantu menjayakan misi penyaluran bantuan itu.
Menurutnya lagi, agihan akan terus dilaksanakan secara berperingkat ke kampung-kampung lain di Lumadan yang turut terkesan banjir.
“Harapan kita bantuan ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban keluarga mangsa banjir.
“Pada masa sama, usaha penyaluran bantuan akan dipastikan berterusan sehingga semua keluarga yang terjejas mendapat perhatian,” katanya. – Chronivo