HomeSukanSukan eratkan perpaduan dan semarakkan patriotisme

Sukan eratkan perpaduan dan semarakkan patriotisme

Read Time:1 Minute, 18 Second

KENINGAU : Aktiviti sukan merupakan medium penting dalam pembangunan sahsiah, disiplin dan jati diri dalam kalangan warga kerja jabatan mahupun agensi terlibat.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah Datuk Peter Lintar berkata, aktiviti sukan turut mengajar setiap individu untuk menghayati nilai hormat, semangat berpasukan, dan kekuatan mental dalam menghadapi cabaran.

Katanya, nilai-nilai tersebut penting dalam menjalankan amanah sebagai penjawat awam kepada negeri dan negara.

“Lebih penting lagi, acara seperti ini menjadi ruang untuk kita menyuburkan rasa cinta kepada tanah air, melalui kebersamaan dan semangat kekitaan yang lahir dari setiap acara yang dijalankan.

“Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, sebagai penjaga khazanah alam yang begitu berharga, berperanan penting bukan sahaja dalam pemuliharaan alam, tetapi juga dalam menyemai semangat patriotisme dalam kalangan warganya,” katanya.

Beliau berkata demikian merasmikan Sukan Dwi Tahunan Taman-Taman Sabah kali ke-23 di Kompleks Sukan Keningau di sini pada Khamis.

Teks ucapan beliau dibacakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah Gabriel Sinit.

Peter berkata, sukan turut menyatukan semua dalam kepelbagaian budaya, latar belakang, mahupun pengalaman.

“Di sinilah terletaknya keindahan sebenar perpaduan. Dalam kita bersaing secara sihat di padang, kita juga belajar menghormati dan menyokong antara satu sama lain. Itulah makna sebenar patriotisme dalam tindakan.

“Saya menyeru agar semua atlet dan peserta dapat bertanding dengan penuh semangat kesukanan, menjaga keselamatan diri, dan menjunjung tinggi nilai sportiviti.

“Kemenangan adalah satu pencapaian, namun semangat kebersamaan itulah kejayaan yang sebenar,” katanya.

Sebanyak empat kontinjen utama menyertai kejohnan itu, antaranya Kontinjen Taman Pedalaman, Kontinjen Taman Pantai Timur, Kontinjen Taman Pantai Barat, dan Kontinjen Taman Kinabalu. – Chronivo / FOTO SABAH PARK

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah sasar pertahan kejuaraan SOPMA, rangkul kejayaan di Sukan Borneo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular