KUALA LUMPUR : Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) hari ini tampil menjelaskan isu kelewatan pemberian ganjaran wang tunai kepada atlet negara yang meraih pingat di Sukan Paralimpik Paris 2024.
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, pihaknya telah menerima sumbangan daripada tiga penaja utama yang menyalurkan bantuan dalam bentuk wang tunai dan barangan sejak temasya itu berlangsung tahun lalu.
“Alhamdulillah, kita telah berjaya mendapatkan tiga penaja. Zero Healthcare telah menyumbangkan 30 kerusi urut bernilai lebih RM15,000 setiap satu kepada semua atlet negara yang beraksi di Paris. Mereka turut menyalurkan insentif tambahan pada 9 April 2025 iaitu RM10,000 kepada pemenang emas, RM5,000 kepada pemenang perak dan RM3,000 kepada pemenang gangsa.

“Selain itu, syarikat B. Grimm Power yang berpangkalan di Jerman dan Thailand turut menyalurkan dana RM55,000 dengan pecahan RM15,000 untuk dua pemenang emas, RM10,000 untuk dua pemenang perak dan RM5,000 untuk pemenang gangsa,” katanya pada sidang media di Pusat Kecemerlangan Paralimpik di Kampung Pandan, Kuala Lumpur,disini hari ini.
Tambahnya, turut menerima sumbangan ialah jurulatih yang mengiringi kontinjen negara ke Paris, masing-masing sebanyak RM1,000 daripada tajaan PCM Paralympic Conservation.
“Insentif yang diagihkan hari ini membabitkan lima atlet utama iaitu Chia Lehow (RM25,000), Boni Buniaw (RM25,000), Datuk Abdul Latif Romli (RM15,000), Ziad Zulkifli (RM15,000) dan Eddie Bennett (RM8,000).

“Secara keseluruhan, jumlah insentif tunai yang berjaya disalurkan adalah RM88,000 kepada semua pemenang pingat. Bagi memastikan ketelusan, pihak penaja telah bersetuju untuk menyalurkan pembayaran terus ke akaun atlet masing-masing,” katanya.
Penjelasan Isu RM60,000
Mengulas mengenai laporan yang mendakwa MPM sepatutnya menyalurkan ganjaran berjumlah RM60,000, Megat menegaskan angka itu tidak pernah diumumkan pihaknya.
“Untuk makluman, jumlah sebenar yang berjaya dikumpulkan dalam bentuk tunai adalah RM55,000 sahaja. Saya tidak tahu bagaimana jumlah RM60,000 itu boleh timbul dan daripada sumber mana ia dipetik.
“Saya berharap para atlet dapat berhubung terus dengan pihak kami sekiranya mempunyai sebarang kekangan kewangan kerana kami sentiasa bersedia membantu,” katanya.
Dakwaan Tidak Berasas Jejas Penaja
Dalam pada itu, Megat berkata beliau sendiri telah memohon maaf secara peribadi kepada pihak penaja bagi memastikan hubungan baik itu tidak terjejas, selain memberi jaminan bahawa segala bentuk tajaan akan diuruskan secara bertanggungjawab dan telus.
“Saya percaya semua pihak ingin melihat sukan paralimpik negara terus berkembang. Justeru, saya ingin menutup polemik ini dan memastikan setiap penajaan yang masuk dilindungi serta dihargai,” katanya.
Ditanya sama ada atlet yang membuat dakwaan berkenaan akan dikenakan tindakan termasuk penggantungan, Megat berkata MPM akan mengambil langkah sewajarnya mengikut prosedur ditetapkan.
“So kalau menjerumus terhadap penggantungan, kita akan lakukan. Tetapi kita tetap akan ikut prosedur yang betul. Tidak ada sesiapa yang lebih besar daripada negara atau organisasi,” katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa kesal terhadap kenyataan yang melabelkan MPM sebagai sebuah organisasi penipuan (scam), sambil menyifatkannya sebagai tuduhan yang memalukan dan tidak bertanggungjawab.
“Saya minta maaf kerana agak emosi, tetapi melabelkan organisasi ini yang mewakili golongan orang kurang upaya (OKU) sebagai sebuah ‘scam’ adalah sesuatu yang sangat memalukan. Bagi saya itu sudah melampaui batas.
“Ia sangat memalukan, sangat tidak boleh diterima. Tidak pernah saya terfikir ada individu yang juga daripada komuniti ini sendiri boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian,” katanya dengan nada kecewa.
Perancangan Masa Depan
Mengulas mengenai hala tuju masa depan, Megat berkata MPM akan terus memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan lebih banyak penajaan bagi menjamin kebajikan atlet paralimpik negara.
“Kami percaya pembangunan sukan paralimpik perlu berterusan, bukan sahaja selepas temasya besar seperti Paralimpik tetapi sepanjang tahun. Justeru, kami akan memperkukuh jaringan kerjasama dengan sektor swasta dan rakan strategik lain,” katanya.
Beliau berkata MPM juga akan memperkemas sistem pemberian insentif dan tajaan supaya lebih telus dan cepat sampai kepada atlet.
“Kita mahu pastikan tidak timbul lagi isu kelewatan. Setiap sen tajaan yang masuk akan terus disalurkan kepada atlet atau jurulatih yang layak, agar mereka dapat merasai hasil usaha mereka tanpa sebarang keraguan,” katanya.
Megat menegaskan MPM komited untuk melindungi kepentingan atlet paralimpik serta memastikan setiap sumbangan penaja digunakan dengan sebaik-baiknya.
“Matlamat kita adalah untuk memastikan atlet OKU ini mendapat pengiktirafan dan sokongan setimpal dengan pengorbanan mereka, sekali gus mengangkat martabat sukan paralimpik negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.