HomeUtamaUMS komited atasi krisis air demi kesejahteraan mahasiswa

UMS komited atasi krisis air demi kesejahteraan mahasiswa

Read Time:1 Minute, 28 Second

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menegaskan bahawa tuntutan sekumpulan pelajar yang menggelar diri mereka sebagai Suara Mahasiswa (SM) untuk pengurangan yuran susulan masalah bekalan air, tidak dapat dipenuhi.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, keputusan itu dibuat selepas penelitian mendalam kerana dana universiti lebih wajar dimanfaatkan untuk pembaikan fasiliti, khususnya berkaitan isu bekalan air yang telah berlarutan sejak beberapa bulan lalu.

“Penyelesaian terhadap masalah air memberi impak jangka panjang kepada seluruh warga kampus berbanding pengurangan yuran yang hanya bersifat sementara,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, universiti dengan sokongan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kewangan, sedang melaksanakan pelbagai langkah proaktif bersama Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) serta kontraktor penyelenggaraan.

Antara inisiatif itu termasuk pembinaan sistem rawatan air bawah tanah (tubewell), pemasangan tangki tambahan di lokasi strategik, pengagihan air melalui lori tangki, pembelian air minuman untuk pelajar serta pemantauan bersepadu bersama JANS.

Beliau menjelaskan, yuran pengajian di UMS ketika ini telah disubsidi kerajaan lebih 90 peratus, dan baki yang ditanggung pelajar adalah amat minimum berbanding kos sebenar pengajian.

“Oleh itu, keputusan untuk tidak memberi pengurangan tambahan adalah selaras dengan usaha universiti menyalurkan dana kepada keperluan fasiliti yang lebih mendesak serta memberi manfaat kepada semua pelajar,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan Menteri Pendidikan Tinggi tidak sepatutnya dipersalahkan kerana isu berkaitan yuran dan fasiliti berada di bawah bidang kuasa universiti melalui Jawatankuasa Pengurusan Universiti dan Lembaga Pengarah Universiti.

“UMS menghargai perhatian dan bantuan kementerian dalam menangani isu bekalan air serta usaha berterusan demi kebajikan mahasiswa,” tambahnya.

Beliau menyeru semua pihak agar terus memberi kerjasama dan menyalurkan pandangan melalui saluran yang betul supaya usaha membaik pulih infrastruktur dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“UMS yakin dengan kerjasama erat antara mahasiswa, pengurusan dan kementerian, kesejahteraan seluruh kampus dapat dipertingkatkan,” katanya. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular