Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Pegawai Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Logaraj Ratha, tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa beliau tidak pernah berjumpa dengan ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir untuk menerangkan mengenai proses bedah siasat mayat arwah pada 17 Julai lalu.
Saksi ketujuh inkues kematian Zara Qairina itu memberikan jawapan berkenaan ketika ditanya oleh peguam ibu Zara, Rizwandean M Borhan, di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Rizwandean: Doktor saya telah diarahkan oleh Noraidah bahawa Doktor tidak pernah berjumpa dengan beliau di hospital pada 17 Julai. Apa respon Doktor?
Dr Logaraj: Saya tidak bersetuju. Saya berjumpa dengan Noraidah dan juga saksi keluarga, Shira (kakak ipar kepada Noraidah) pada petang itu di Jabatan Perubatan Forensik
Rizwandean: Doktor, saya telah diarahkan bahawa Doktor tidak pernah menerangkan kepada Noraidah dan disaksikan oleh Shira mengenai keperluan serta kepentingan bedah siasat. Boleh Doktor berikan respon terhadap kenyataan tersebut.
Dr Logaraj: Saya tidak bersetuju. Saya memberi penerangan yang complete kepada Noraidah dan Shira pada petang tersebut dan mereka tandatangan surat i42 (Surat Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri) selepas mereka faham akan penerangan saya.
Kedua- dua soalan ini pada awalnya dibantah oleh Pegawai Pengendali Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah Nahra Dollah, bagaimanapun Koroner membenarkan peguam menghabiskan pertanyaan dan meminta saksi menjawab.
Terdahulu, dalam kenyataan bertulisnya, Dr Logaraj memberitahu Mahkamah Koroner bahawa beliau berjumpa dengan ibu kandung Zara Qairina dan kakak iparnya, Nur Shira pada petang 17 Julai lalu.
Menurutnya, beliau telah memaklumkan kepada Noraidah bahawa pihak polis tidak mengeluarkan borang Pol. 61 iaitu borang Permintaan Pemeriksaan Mayat. Beliau juga telah menerangkan kepada Noraidah dan disaksi oleh Shira, mengenai keperluan serta kepentingan bedah siasat.
Dr Logaraj berkata walaupun borang Pol. 61 iaitu borang Permintaan Pemeriksaan Mayat tidak dikeluarkan oleh pihak polis, proses bedah siasat klinikal sebenarnya masih boleh dijalankan tetapi tertakluk dengan kebenaran waris terdekat.
Walau bagaimanapun, pihak waris, Noraidah membuat keputusan untuk bedah siasat tidak dijalankan ke atas jenazah Zara, walaupun penerangan telah diberikan.
Ketika ditanya apakah reaksi Noraidah ketika dimaklumkan polis tidak mengeluarkan boring Pol. 61 iaitu borang Permintaan Pemeriksaan Mayat, Dr Logaraj berkata Noraidah tidak memberikan apa-apa reaksi dan memaklumkantidak mahu bedah siasat dilakukan.
Mengenai reaksi Shira, Dr Logaraj berkata beliau tidak pasti tapi Shira memaklumkan mereka pun bersetuju bedah siasat tidak dijalankan.
Pada prosiding pagi tadi, Rizwandean turut bertanya sama ada Dr Logaraj tahu bahawa Noraidah ada membuat laporan polis mengenai kes kematian Zara Qairina pada pagi 17 Julai lalu.
Rizwandean: Adakah Doktor tahu sekiranya Noraidah telah membuat satu laporan polis pada pagi 17 julai 2025?
Dr Logaraj: Ya, saya tahu tetapi pada ketika itu Noraidah tidak ingin memberi kami, pihak forensik report tersebut
Rizwandean: Bagaimana Doktor tahu Noraidah membuat laporan polis?
Dr Logaraj: Dia yang beritahu
Rizwandean: Ada Doktor minta salinan laporan polis tersebut?
Dr Logaraj: Ya, tapi dia tidak mahu beri.