BERNAMA
BUTTERWORTH: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan semangat kesatuan, kebersamaan dan perpaduan merupakan kunci utama mengatasi pelbagai cabaran dalam perjalanan membina negara bangsa.
Dalam ucapan pada sambutan Hari Malaysia 2025 hari ini, Hajiji berkata 16 Sept menjadi tarikh keramat yang perlu sentiasa diingati sebagai hari tertubuhnya Malaysia dan tarikh bersejarah yang menjadikan negara berdaulat dan merdeka.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita harus berbangga serta mengingati detik penting ini. Pembentukan Malaysia telah membawa banyak nikmat dan manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat, namun perjalanan membina negara masih panjang, berliku dan tidak terlepas daripada cabaran.
“Oleh itu, hanya dengan adanya kesatuan, kebersamaan dan perpaduan, semua cabaran ini dapat diatasi,” katanya dalam video ucapan yang ditayangkan pada sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, di sini malam tadi.
Beliau juga berkata semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara perlu terus disemarakkan agar perpaduan serta keharmonian rakyat pelbagai bangsa dan agama kekal terpelihara di bumi Malaysia.
Terdahulu, Anwar, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah hadir memeriahkan sambutan malam ini.
Edisi sambutan Hari Malaysia kali ini berlangsung di Pulau Pinang selaras dengan amalan penggiliran lokasi penganjuran acara itu antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia setiap tahun. – BERNAMA