HomeUtama215 mangsa banjir dan tanah runtuh dipindahkan ke tiga PPS di Papar

215 mangsa banjir dan tanah runtuh dipindahkan ke tiga PPS di Papar

Read Time:1 Minute, 50 Second

Oleh Normimie Diun

PAPAR: Seramai 215 mangsa daripada 63 keluarga dipindahkan ke tiga Pusat Penempatan Sementara (PPS) di daerah ini berikutan banjir dan tanah runtuh yang berlaku sejak beberapa hari lalu.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, setakat jam 10 pagi ini (Selasa) mangsa-mangsa terbabit ditempatkan di Dewan Masyarakat Papar (34 keluarga, 116 mangsa), Dewan Lok Kawi Heights Kinarut (24 keluarga, 77 mangsa) dan Balai Raya Kampung Mook Kinarut (lima keluarga, 22 mangsa).

“Walaupun hujan telah reda sejak semalam, paras air kembali naik di beberapa kawasan pagi ini dan ada penduduk yang baru mendaftar di PPS,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat perkembangan bencana di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Papar di sini, hari ini.

Menurutnya, hujan lebat berlarutan sejak minggu lalu menyebabkan 18 jalan perhubungan terputus, masing-masing 12 akibat banjir kilat dan enam kerana tanah runtuh. Setakat ini, empat laluan boleh diakses semula.

Bagaimanapun, dua kampung iaitu Kampung Sabandil dan Kampung Bungug masih terputus sepenuhnya tanpa akses jalan darat. Bekalan makanan dihantar menggunakan bot oleh Pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dengan bantuan penduduk kampung.

“Selain itu, pencawang elektrik yang tumbang di kawasan terbabit turut menyebabkan bekalan terputus dan pihak utiliti sedang melaksanakan kerja-kerja pembaikan segera,” katanya.

Armizan berkata, sebanyak 15 sekolah dikenal pasti terjejas akibat banjir namun sesi pembelajaran tidak terjejas kerana cuti sekolah. Pihak Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Sabah sedang berusaha memastikan semua sekolah dapat digunakan semula apabila dibuka kelak.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga lima mangsa yang maut dalam dua insiden tanah runtuh masing-masing di Kampung Mook dan Kampung Marahang Tuntul.

“Keluarga mangsa telah ditempatkan sementara di Balai Raya Kampung Mook dan Balai Raya Kampung Marahang. Penempatan sementara lain sedang dikenal pasti termasuk PPR berhampiran,” katanya.

Armizan turut menasihatkan penduduk-penduduk yang tinggal berdekatan cerun-cerun bukit berisiko supaya sentiasa berwasapada.

“Jangan tunggu di saat akhir, kalau hujan berlarutan bagi rumah mereka berdekatan dengan cerun-cerun bukit yang ada risiko, diminta mereka sama ada mungkin mereka berpindah ke rumah saudara mara yang lain atau kita buka Pusat Penempatan Sementara supaya mereka boleh pindah ke sana.

“Ini risiko ancaman jadi pastikan juga barang-barang berharga dan dokumen-dokumen itu dipindahkan dahulu untuk tidak berlaku kehilangan,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular