KUNDASANG: Peningkatan hasil negeri ke tahap tertinggi dalam sejarah telah melonjak peluang ekonomi rakyat serta membawa pelbagai manfaat kepada masyarakat Sabah.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, hasil negeri yang mencecah RM5.49 bilion pada 2021, RM6.96 bilion (2022), RM6.97 bilion (2023) dan RM6.84 bilion (2024) jelas menunjukkan dasar pentadbiran di bawah pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) memberi kesan positif kepada pembangunan ekonomi negeri.
“Pencapaian ini bukan angka kosong, sebaliknya membuktikan Kerajaan mempunyai asas yang kukuh dalam mentadbir. Hasil yang tinggi inilah yang diterjemahkan kepada pelbagai manfaat untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Pesta Kubis Tahun 2025 disini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan turut diserikan dengan kehadiran Isteri ,Toh Puan Faridah Tussin.
Hadir sama pada majlis itu, Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun, Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin dan pengerusi penganjur tersebut Datuk Japiril Suhaimin.
Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, hasil itu membolehkan Kerajaan melaksanakan Inisiatif seperti Rumah Mesra SMJ Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS), pemberian Bantuan Tunai Rakyat Sabah RM300 sebulan dan bantuan one off RM5,000 kepada penjaja tepi jalan seramai 643 penerima.

Katanya, sektor minyak dan gas turut memberi sumbangan besar apabila penubuhan SMJ Energy Sdn Bhd melonjakkan pendapatan negeri daripada RM50 juta kepada RM5.1 bilion, selain mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan baharu.
“Pelaburan strategik daripada syarikat gergasi antarabangsa seperti Kibing Solar, SK Nexilis dan Esteel Enterprise turut membuka ribuan peluang kerja untuk anak muda tempatan, sekali gus mengukuhkan daya saing Sabah sebagai destinasi pelaburan,”katanya.
Dalam majlis itu juga Tun Musa turut menyampaikan anugerah kepada para penerima yang telah memberikan sumbangan kepada industri di daerah tersebut.
Pesta Kubis Kundasang mula dianjurkan pada tahun 1997 sebagai inisiatif awal Allahyarham Datuk Mynoor Ginggor serta akar umbi masyarakat Kundasang dengan sokongan padu daripada Pejabat Daerah Ranau.