HomeUtamaHajiji turun padang lawat mangsa bencana, serah bantuan di Penampang dan Putatan

Hajiji turun padang lawat mangsa bencana, serah bantuan di Penampang dan Putatan

Read Time:2 Minute, 44 Second

PENAMPANG: Ketua Menteri, Datuk Seri  Hajiji Noor turun padang meninjau keadaan mangsa banjir dan tanah runtuh yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sini dan Putatan, pada Isnin. 

Beliau memulakan tinjauan di PPS Kampung Sarapung yang menempatkan mangsa banjir dan tanah runtuh pada jam 5.30 petang tadi sebelum ke Putatan selepas itu. 

Meskipun hujan lebat, Hajiji mahu melihat sendiri keadaan mangsa bagi menzahirkan keprihatinan terhadap nasib mereka, sambil menyerahkan bantuan daripada kerajaan. 

Di PPS Kampung Sarapung, Hajiji diberi taklimat oleh Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Penampang (MPPg), Normi Dyena John Tren sebelum mengagihkan bantuan kepada 40 Ketua Isi Rumah (KIR). 

Bantuan berupa wang tunai dan bakul makanan itu disalurkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Negeri (JPBN) bagi meringankan beban mangsa yang terjejas akibat banjir, selain memastikan kebajikan mereka sentiasa terjamin sepanjang berada di PPS. 

Hajiji berkata, kerajaan negeri melalui JPBN sentiasa bersiap siaga dalam memberikan bantuan segera kepada rakyat yang berhadapan musibah, terutama ketika musim hujan berterusan. 

“Kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal kebajikan rakyat. Setiap mangsa bencana akan dibantu sewajarnya supaya mereka tidak berasa terpinggir,” katanya. 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada agensi kerajaan, pasukan keselamatan serta sukarelawan yang bertungkus-lumus menguruskan PPS dan membantu memindahkan mangsa banjir dengan selamat. 

Katanya, kerjasama erat semua pihak amat penting dalam memastikan keselamatan, keselesaan serta kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan ketika berdepan bencana alam. 

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai lawatannya, Hajiji berkata beliau bersama JPBN yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN), Datuk Seri Sr Safar Untong mahu melihat secara dekat situasi banjir di beberapa lokasi yang terjejas. 

“Saya dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Negeri yang diketuai SKN meninjau secara fizikal di lapangan untuk mengetahui keadaan yang berlaku supaya kita mengetahui banjir, tanah runtuh dan sebagainya untuk kita bagi bantuan kepada mangsa yang terlibat. 

“Kerajaan akan bagi bantuan satu dua hari ini. Semua mangsa banjir, tanah runtuh kita akan bagi bantuan kerajaan negeri dan persekutuan. Pihak Yayasan Kebajikan Negeri juga akan memberikan bantuan,” katanya ketika ditemui di sini. 

Pada masa yang sama beliau mengingatkan semua wakil rakyat dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) supaya memantau dengan rapat situasi bencana di kawasan masing-masing. 

Beliau menyifatkan bencana yang melanda beberapa daerah di Sabah kali ini agak teruk berikutan banjir dan tanah runtuh yang menjejaskan ramai penduduk dan kawasan. 

“Bukan saja banjir, malah tanah berlaku runtuh dan bekalan elektrik dan air juga terputus, agak teruk kali ini. Sebab itu kita batal sambutan Hari Malaysia esok kerana kita lebih prihatin untuk bantu mangsa yang terlibat di beberapa daerah yang dilanda bencana ini,” katanya. 

Sementara itu, di Putatan Hajiji turut melawat mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Seri Keramat di Ketiau dan memberikan bantuan kepada 40 KIR mangsa, sebelum ke Dewan PPR Seri Serigai melawat 56 KIR mangsa yang ditempatkan di sana. 

Hajiji meninjau kawasan tanah runtuh berhampiran Jesselton Quay – FOTO RTM SABAH

Terdahulu, Hajiji turut meninjau keadaan tanah runtuh di Jalan Tun Fuad Stephens yang berhadapan dengan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Tanjung Lipat. 

Lawatan turun padang itu turut disertai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam 

Sekitar negeri, Datuk Seri Christina Liew dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri  Sr.Safar Untong dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

800 bungkusan makanan disumbangkan kepada mangsa banjir, petugas di Penampang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular