KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah merekodkan sebanyak 122 insiden bencana alam di seluruh negeri sepanjang tempoh seminggu bermula 8 hingga 15 September 2025.
JKR Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah yang direkodkan sehingga jam 2 petang tadi menunjukkan daerah Penampang mencatat angka tertinggi iaitu 36 kejadian.
Insiden yang direkodkan di daerah itu melibatkan pelbagai kategori termasuk banjir kilat, banjir bermusim, jalan runtuh, cerun runtuh, jambatan rosak serta banjir lumpur.

Daripada jumlah keseluruhan, cerun runtuh kekal sebagai bencana paling banyak berlaku dengan 45 kes, diikuti 33 kes banjir kilat, 31 kes banjir bermusim, 10 kes jalan runtuh, dua jambatan runtuh dan satu kes banjir lumpur.
Selain Penampang, beberapa daerah lain yang turut mencatat angka tinggi ialah Kota Kinabalu (27 kes) dan Beaufort (25 kes).
Beaufort dilaporkan paling terkesan dengan banjir bermusim apabila 25 kejadian direkodkan dalam tempoh tersebut.
Daerah Putatan (8 kes) dan Papar (9 kes) pula banyak dilanda banjir kilat serta runtuhan cerun, manakala beberapa daerah lain termasuk Sipitang, Tambunan, Tawau dan Tuaran hanya merekodkan satu hingga dua insiden.
JKR Sabah melalui Cawangan Penyelenggaraan Jalan menegaskan, pihaknya terus melakukan pemantauan rapi dan kerja-kerja pemulihan segera bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin, terutama di kawasan berisiko tinggi akibat hujan lebat berterusan. – Chronivo