KOTA KINABALU, – Kerajaan Negeri Sabah membatalkan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri yang dijadualkan berlangsung di Padang Merdeka esok malam berikutan bencana banjir besar yang melanda sekurang-kurangnya tujuh daerah akibat hujan berterusan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata keputusan itu telah dimaklumkan kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, hari ini.
“Keutamaan segera Kerajaan Negeri adalah untuk mengurus krisis, menyelaras usaha pemulihan serta memastikan operasi menyelamat dapat dilaksanakan dengan pantas bagi komuniti yang terjejas.
“Dalam waktu sukar ini, kesejahteraan, kebajikan dan keselamatan rakyat adalah paling utama. Segala fokus dan sumber mesti ditumpukan kepada mereka yang terkesan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau turut mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri supaya sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan memandangkan cuaca buruk dijangka berlarutan.
Jawatankuasa itu yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, telah mengadakan mesyuarat khas bagi memantau perkembangan semasa serta menyelaras tindakan segera di daerah-daerah terlibat.
Sementara itu, Hajiji menyeru rakyat supaya terus berwaspada, mematuhi arahan keselamatan dan memberi kerjasama penuh kepada pasukan penyelamat yang sedang giat menjalankan operasi di seluruh negeri.