Kota Kinabalu : Daerah Membakut menjadi daerah terbaharu diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir berikutan hujan lebat berterusan dan kenaikan paras air sungai di paras bahaya ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Ibrahim Terki berkata, pengisytiharan itu dibuat pada jam 8.22 pagi tadi.
“Dengan ini berdasarkan laporan dan maklumat di lapangan yang diterima daripada agensi-agensi dalam JPBD, maka adalah diisytiharkan bahawa telah berlaku bencana banjir di daerah Membakut,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Katanya, dua pusat pemindahan sementara (PPS) turut diaktifkan antara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongawan dan Dewan Masyarakat Bongawan.
Pengaktifan PPS itu adalah selepas pemeriksaan kawasan dan rumah Penduduk Terjejas Bencana (PTB) telah tidak selamat untuk didiami. – Chronivo