HomeIsu tempatanPenyelidik UMS temui spesies beruang air baharu, beri nama 'Batillipes malaysianus'

Penyelidik UMS temui spesies beruang air baharu, beri nama ‘Batillipes malaysianus’

Read Time:1 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU: Insitut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengumumkan penemuan spesies baharu tardigrad marin, ‘Batillipes malaysianus’ di Labuan.

Ketua penyelidik, Profesor Madya Dr. Chen Cheng Ann berkata, penemuan tersebut adalah hasil tinjauan lapangan pada 29 November 2023 dan 16 September 2024 (Hari Malaysia).

Katanya penemuan tersebut mengemas kini rekod tardigrad marin Malaysia buat pertama kali sejak 1967 dan menzahirkan kepelbagaian biologi negara. 

Profesor Madya Dr. Chen Cheng Ann memerhati slaid di bawah mikroskop bagi meneliti ciri diagnostik yang mengesahkan spesies baharu Batillipes malaysianus.

“Kami mendedikasikan penemuan serta penamaan Batillipes malaysianus sebagai tanda meraikan 68 tahun Kemerdekaan Malaysia. 

”Walaupun kepadatan spesies ini amat rendah, ciri diagnostik yang kami perhatikan mengesahkan ia spesies baharu kepada sains,” katanya.

Penemuan tersebut juga telah diterbitkan dalam Journal of the Marine Biological Association of the United Kingdom pada bulan Jun tahun ini dan menonjolkan kepakaran tempatan dalam taksonomi, di samping mengukuhkan kepentingan pemuliharaan pantai sebagai habitat mikrofauna yang bernilai.

Menurut pasukan penyelidik, enam individu genus Batillipes ditemui sepanjang dua lawatan persampelan, termasuk satu individu yang dikenal pasti sebagai spesis baharu dan satu rekod baharu negara bagi Batillipes rotundiculus. 

Batillipes malaysianus sp. nov. “beruang air” marin yang baharu dinamakan sempena Malaysia.

Bahan jenis (type material) disimpan di Koleksi Institut Penyelidikan Marin Borneo (BMRI) bagi pemeliharaan kekal dan rujukan saintifik.

Pasukan penyelidikan diketuai oleh Prof. Madya Dr. Cheng-Ann Chen bersama pelajar pascasiswazah Miss Ng Wei-Ling (UMS), seorang penyelidik dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), serta Prof. Dr. Tadashi Kajita dari University of the Ryukyus, Jepun.

Dr. Chen juga mengesyorkan tinjauan yang lebih meluas dan penggunaan kaedah molekul moden seperti eDNA untuk mendedahkan kepelbagaian mikrofauna marin Malaysia yang sebenar.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Mahasiswa UiTM himpun 180kg E-Waste, tingkat kesedaran alam sekitar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular