Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Perhimpunan aman berkaitan solidariti #JusticeForZara wajar ditangguhkan sementara sehingga prosiding inkues kematian pelajar berusia 13 tahun itu selesai sepenuhnya.
Dalam kenyataan bersama hari ini, pasukan guaman berkata langkah itu selaras dengan hasrat ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat agar prosiding mahkamah berjalan tanpa sebarang gangguan atau risiko ‘sub judice’ (masih dalam pertimbangan mahkamah).
“Sehubungan itu, kami berpandangan semua bentuk perhimpunan aman wajar ditangguhkan sementara sehingga prosiding inkues selesai, selaras dengan hasrat ibu Zara.
“Kami memohon agar semua pihak berhati-hati ketika memberi kritikan dan komen di sosial media tentang prosiding inkues dan bukti-bukti yang dikemukakan. Ini penting bagi mengelakkan risiko ‘sub judice’ dan gangguan dalam perjalanan prosiding inkues,” kata mereka.
Mereka turut mengambil maklum beberapa tangkapan dan pendakwaan ke atas individu berhubung ucapan dalam himpunan atau komen di media sosial yang menggunakan slogan Justice For Zara.
“Kami dan anak guam kami tidak mahu slogan atau nama Zara dicemari oleh tindakan pihak tidak bertanggungjawab,” tambah mereka.
Pasukan guaman ibu Zara terdiri daripada Rizwandean Borhan, Shahlan Jufri, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.
Menurut kenyataan itu, sebarang bentuk himpunan solidariti boleh diteruskan selepas inkues selesai, manakala buat masa ini masyarakat digesa memberi ruang kepada mahkamah untuk menunaikan tanggungjawabnya.
“Kami berpendapat sebarang himpunan solidariti boleh diteruskan setelah prosiding inkues selesai sepenuhnya. Buat masa ini, marilah kita memberi ruang kepada mahkamah untuk menjalankan tugasnya.
“Dengan kesabaran dan kepercayaan kepada proses kehakiman, kebenaran akan terserlah dan keadilan akan dicapai,” tambah mereka.
Setakat ini, enam saksi sudah memberi keterangan sejak inkues bermula pada 3 September di Mahkamah Koroner.
Pasukan guaman berkata mereka berpuas hati dengan perjalanan prosiding dan berterima kasih atas sokongan masyarakat, termasuk melalui himpunan aman serta sumbangan dana bagi menampung kos perlantikan pakar dalam pelbagai bidang. – Chronivo