HomeUtamaTiada laporan Zara dibuli, tiada nampak pelajar dipukul - Saksi

Tiada laporan Zara dibuli, tiada nampak pelajar dipukul – Saksi

Read Time:2 Minute, 3 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Pengawal keselamatan yang bertugas pada malam 15 Julai hingga keesokan paginya, tidak menerima sebarang laporan mengenai Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dibuli atau dipukul.

Linah Mansoding, saksi keenam inkues kematian Zara, berkata demikian ketika disoal peguam Azhier Farhan Arisin, yang mewakili empat daripada lima remaja dikaitkan dengan kes Zara, selepas prosiding bersambung pada sesi petang.

Azhier: Awak beritahu mahkamah bahawa sepanjang malam hingga keesokan harinya awak membuat rondaan di asrama Zara?
Linah: Ya.

Azhier: Adakah awak melihat mana-mana pelajar dipukul atau dibuli?
Linah: Tidak. Ketika saya pergi mengisi semula botol air, saya tidak melihat mana-maa pelajar. Saya turut menyuluh lampu suluh di sekeliling, tetapi tiada pelajar kelihatan.

Menjawab soalan lain daripada Azhier, sama ada ketua dorm B, C, D, dan E bertemu dengan Zara pada malam kejadian untuk bertanyakan tentang barang-barang yang hilang dan isu buli, Linah berkata: “Saya tidak tahu.”

Linah juga memaklumkan beliau tidak melihat Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh.

Ketika disoal oleh peguam Joan Goh, yang mewakili seorang lagi remaja terbabit, Linah berkata beliau tidak mendengar apa-apa bunyi bising semasa kejadian.

“Saya tidak dengar budak-budak bergaduh sebab bilik mereka semua sudah gelap. Saya tidak pernah dengar kes pukul dalam kalangan pelajar asrama itu. Mereka cuma main-main sahaja. Tiada kes pukul, macam cakap-cakap sahaja… macam kau bodohlah,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya oleh peguam Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip yang mewakili ayah Zara, berhubung kes buli di sekolah, Linah berkata beliau tidak pernah mendengar tentang kejadian buli di sekolah berkenaan.

Nurul: Sejak awak berada di sekolah ini dari tahun 2012, adakah pernah dengar tentang kes buli di sekolah ini?
Linah: Saya tidak pernah dengar… yang main-main ada, tetapi tiada serangan fizikal.

Zara, 13, ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai berhampiran longkang di aras bawah asrama dan disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya.

Linah, yang telah berkhidmat di sekolah itu sejak 2012, berkata beliau sempat mengambil gambar Zara di lokasi kejadian.

Disebabkan pencahayaan yang kurang baik, katanya, gambar tersebut tidak begitu jelas.

Menurut Linah, Zara memakai baju biru putih serta seluar bercetak logo sekolah, tanpa tudung, kasut atau selipar ketika ditemui.

Linah menambah, beliau sempat menyentuh pipi Zara untuk mengejutkannya dan menarik turun baju mangsa bagi menutup tubuhnya sebelum menghubungi ketua warden, Ustaz Azhari.

Linah turut mengesahkan bahawa beliau mengambil gambar ambulans meninggalkan kawasan sekolah pada jam 4.14 pagi, 16 Julai.

Prosiding inkues Zara akan bersambung minggu depan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

RELATED ARTICLES
Utama

Surau, Masjid berpotensi sebagai destinasi dakwah dan pelancongan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular