Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner diberitahu bahawa ketua warden mengarahkan seorang pengawal keselamatan memadam satu-satunya gambar tubuh Zara Qairina Mahathir ketika mula-mula ditemui kerana bimbang ia tular di media sosial.
Linah Mansoding, 65, yang merupakan saksi ke-6 inkues kematian Zara memberi keterangan itu dihadapan oroner Amir Shah Amkir Hassan semasa disoal oleh peguam ibu Zara, Shahlan Jufri.
Linah merupakan antara individu terawal yang melihat Zara tidak sedarkan diri di lokasi kejadian selepas dimaklumkan oleh seorang pelajar.
Beliau telah mengambil gambar Zara dan gambar itu merupakan satu-satunya imej Zara ketika dia pertama kali ditemui.
Shahlan: Ada orang beritahu saya, ada cikgu yang suruh puan delete (padam) gambar yang puan ambil. Betul?
Linah: Itu ketua warden juga. Dia takut viral. Handphone saya ni selalu budak pinjam. Jadi dia suruh delete sebab dia takut nanti budak-budak tengok saya punya handphone itu nanti diorang kasih viral. Sebab itulah di delete.
Pada pendengaran lepas, Linah mengesahkan beliau mengambil gambar Zara terlentang di tempat kejadian.
Dia juga menyerahkan gambar itu apabila diminta oleh guru melalui WhatsApp.
Linah turut mengesahkan gambar yang diambilnya itu digunakan sebagai ekshibit di Mahkamah.