KOTA KINABALU : Sabah kini selangkah ke hadapan dalam memperkukuh daya tarikan kepada warga asing apabila Pusat Sehenti Sabah-Malaysia My Second Home (Sabah-MM2H) dilancarkan.
Pusat itu dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew di Sutera Avenue, di sini pada Rabu.
Pusat sehenti itu diwujudkan sebagai hab urusan rasmi bagi program Sabah-MM2H, menjadikannya lebih mesra pelawat dan efisien dari segi pemprosesan permohonan, urusan imigresen, keselamatan serta pelancongan.

Christina berkata, Sabah-MM2H kini mempunyai ‘rumah’ sendiri iaitu satu platform khusus yang akan menyelaras pelbagai urusan berkaitan permohonan dan pentadbiran.
Menurutnya, pusat ini menghimpunkan kerjasama erat antara agensi utama seperti Kerajaan Negeri, Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia, serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), sekali gus mengurangkan kerenah birokrasi dan meningkatkan ketelusan proses.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sabah-MM2H, menegaskan program itu mampu merangsang pertumbuhan ekonomi jangka panjang dengan menarik warga asing yang bukan hanya mahu menetap, tetapi juga melabur dan berbelanja di Sabah.
“Kita menjangka impak positif dalam sektor hartanah, pelancongan, penjagaan kesihatan, pendidikan dan perniagaan tempatan.
“Ini akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, pelaburan serta pertukaran budaya yang memperkayakan masyarakat kita,”katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pegawai dan agensi yang terlibat dalam merealisasikan inisiatif penting ini, yang selari dengan visi kerajaan untuk menjadikan Sabah destinasi pilihan bagi kehidupan jangka panjang.
Pusat sehenti ini dijangka akan menjadi titik perubahan dalam strategi promosi pelancongan jangka panjang Sabah, selain membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara sektor awam dan swasta. – Chronivo