Oleh J.Evachel John
((KEMASKINI)) KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner dimaklumkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dituduh mencuri duit sebelum insiden dirinya ditemui tidak sedarkan diri di asrama sebuah sekolah di Papar.
Pengawal keselamatan Linah Mansoding, 65, mendedahkan perkara itu hari ini, semasa menyambung keterangannya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Linah, ketika ditanya oleh peguam ibu Zara, Shahlan Jufri berkata pada 15 Julai, semasa meronda dia terjumpa dengan pelajar A di jemuran kain.
Menurutnya A mengadu duit RM300 dan kad bank hilang dan beliau telah menasihati A bahawa pelajar sepatutnya meminta bantuan warden untuk menjaga keselamatan wang mereka.
Shahlan: Untuk kejadian kes Zara ini, ada dengar apa-apa cerita pasal Zara?
Linah: Tiada juga
Shahlan: Maksud tiada juga?
Linah: Tiada… Cerita apa juga?
Shahlan: Cerita apa-apa saja.
Linah: Kalau selepas kejadian itu memang ada dengarlah budak-budak cakap, sebetulnya Zara ni dituduh mencuri. Dia (Zara) dituduh mencuri oleh A, duitnya hilang. Dan sebelum kejadian, malam tu, 15 haribulan, saya jumpa A di jemuran kain, dia mengandu, “aunty dompet saya hilang.”
Saya tanya hilang di mana, dia cakap tadi pagi di beg tapi sekali malam ni dia cakap hilang sudah. Saya tanyalah berapa, dia cakap RM 300 dengan kad bank hilang. Tapi dia tidak cakap , dia tidak bagitahu siapa dia tuduh. Jadi selepas kejadian, Ustaz Rizani suruh ketua pelajar cari ketua Dorm Zara. Ketua pelajar tu naik ke atas dia cari ketua Dorm Zara. Lepas tu dia (ketua pelajar) turun baru saya dengar dia (ketua pelajar) cakap “rupanya dia (Zara) itu Ustaz kena tuduh mencuri duit A”
Menurut Linah dia juga mendengar A mengadu dengan pelajar senior dan Zara telah dipanggil.
Shahlan: Bila Zara dituduh mencuri, apalah pelajar senior ni buat?
Linah: Tidak tahu, mungkin dorang panggil dia tanya kali
Shahlan: Dalam ramai-ramai pelajar di asrama itu, kenapa Zara yang dituduh.
Linah: Tidak tahulah tuan, kenapa begitu
Shahlan: Ada apa lagi yang puan dengar pasal tuduhan curi ini?
Linah: Tiada itu saja.
Shahlan juga bertanya sekiranya Linah pernah mendengar perkataan “MA”.
Linah mengakui pernah dan menjelaskan “MA” adalah perhimpunan haram.
Linah berkata pelajar Tingkatan Empat ini akan mengadakan “MA” yang dipercayai singkatan kepada Mesyuarat Agung, iaitu sesi perjumpaan tidak rasmi untuk memanggil junior mereka atas alasan tertentu seperti dianggap tidak menghormati senior, masalah tingkah laku atau sekadar tidak tersenyum apabila berselisih.
Linah berkata dia tidak pasti jika “MA” masih berterusan atau jika cikgu tahu mengenainya, namun mesyuarat seperti itu sebenarnya sudah dilarang oleh pelajar Tingkatan Lima.
Shahlan: Adakah kamu biasa dengan istilah MA?
Linah: Ya.
Shahlan: Apa maksudnya?
Linah: “Perjumpaan haram”. Dorang pandai-pandai saja senior ini. Ini sudah dilarang sudah ini. Pada mulanya saya sendiri tidak tahu maksudnya. Ia sudah wujud sejak sekitar Mac 2017.
Shahlan: Jadi, apa yang berlaku semasa MA?
Linah: Junior akan dipanggil jika buat kesalahan contoh tidak menghormati senior, limpas pun tidak senyum. Tujuannya untuk menegur mereka supaya mereka menghormati senior. Mereka akan bagi nasihat “jangan buat ini, jangan buat itu”.
Shahlan: Jadi, senior memanggil junior untuk perjumpaan haram?
Linah: Ya, lebih kepada menegur atau marah.
Shahlan: Kenapa MA dilarang dan diharamkan?
Linah: Sebab senior bertindak sendiri. Mereka bertindak sesuka hati. Jika ada kesalahan sepatutnya dilaporkan kepada guru untuk tindakan. Guru yang sepatunya panggil bagi nasihat dan bukan senior. Cikgu pun sebenarnya tidak begitu tahu tentang “MA” ini.
Shahlan: Kalau cikgu tidak tahu, bagaimana “MA” boleh diharamkan?
Linah: Yang kakak-kakak larang macam Pelajar Tingkatan Lima. Mereka bagi nasihat berhenti buat perkara itu dan laporkan terus kepada cikgu. Dari situ saya tahu ia dilarang.
Shahlan: Selepas junior dipanggil untuk “MA”, apa lah yang jadi?
Linah: Saya dengar dorang bercakap sesama sendiri… Bila saya tanya kenapa “dari atas kami aunty, kena ‘MA’. Saya tanya pasal apa, ada yang sebab pakaian, ada juga sebab sikap.
Shahlan: Bila kali terakhir kamu dengar tentang “MA”?
Linah: Macam tiada, lama sudah.
Shahlan: Ada guru yang tahu tentang perkara ini?
Linah: Tidak tahulah, tapi mungkin dorang tahu juga.
Shahlan: Ada kemungkinankah Zara “kena MA” sebab tuduhan curi.
Linah: Mungkin
Terdahulu, Linah memaklumkan bahawa sejak sesi persekolahan 2025 bermula pada Mac lalu, beliau hanya berinteraksi sebanyak dua kali dengan Zara.
Pertama, setelah melihat rakaman video TikTok Zara Qairina serta ketika beliau melarangnya berada di kawasan dobi selepas waktu tengah malam.
Berhubung video TikTok terbabit dengan kapsyen “Saya menyesal jumpa satu orang Perempuan”, beliau ada bertanya kepada Zara siapakah Perempuan yang dimaksudkannya namun Zara hanya menjawab, “ada lah itu”.
Prosiding inkues berhenti rehat seketika dan akan bersambung semula petang ini dengan soalan daripada peguam ayah Zara dan peguam kanak-kanak yang berdepan pertuduhan berkait Zara di Mahkamah Kanak-Kanak.