Oleh Normimie Diun
PAPAR: Datuk Ram Singh yang mengetuai pasukan pembelaan untuk salah seorang tertuduh dalam kes buli melibatkan kematian pelajar Zara Qairina Mahathir, hari ini mendedahkan beberapa butiran simulasi yang dijalankan di sebuah sekolah menengah agama di sini berhubung inkues kematian pelajar asrama tingkatan satu itu.
Prosiding luar Mahkamah Koroner atau “locus in quo” bermula seawal jam 8.39 pagi tadi dengan kehadiran pasukan pemerhati Mahkamah Koroner bersama saksi di lokasi kejadian. Hakim Mahkamah Sesyen yang bertindak sebagai Koroner, Amir Shah Amir Hassan, tiba kira-kira jam 9.14 pagi.
Menurut Ram, pihaknya bersama pasukan penyiasat melakukan beberapa ujian menggunakan patung (mannequin) yang dilengkapi pemberat bagi menyesuaikan dengan berat badan arwah sekitar 53 kilogram.
“Dua patung digunakan dalam simulasi hari ini. Satu dibawa oleh pasukan forensik, manakala satu lagi merupakan patung baharu yang dipasang bekas air untuk mendapatkan berat lebih tepat,” katanya pada sidang media selepas menjalankan prosiding inkues di lokasi kejadian.
Beliau menjelaskan, ujian itu bertujuan mendapatkan gambaran sebenar kesan impak semasa kejatuhan dan membandingkannya dengan foto lokasi kejadian yang ditandakan sebagai “I7”.
“Semua kemungkinan telah diuji, termasuk kedudukan jatuh, arah kejatuhan serta ketinggian rel. Unit Siasatan Tempat Kejadian (CSI) turut memanjat pagar besi untuk menguji beberapa sudut,” katanya lagi.
Ram turut mengakui penggunaan patung tidak sepenuhnya menggambarkan keadaan sebenar kerana struktur patung berbeza daripada tubuh manusia.
“Patung ini kosong di dalam dan tidak mempunyai ketumpatan tulang serta daging manusia, jadi ia lebih mudah rosak apabila terhempas. Namun ia tetap membantu memberi gambaran impak kejatuhan,” ujarnya.
Katanya, hasil simulasi akan dibincangkan semula di Mahkamah Koroner pada petang ini.
Ditanya mengenai adakah beliau melihat kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian, Ram berkata tidak melihatnya.
“Saya tidak melihat CCTV di kawasan kejadian,” katanya.
Manakala mengenai mesin basuh yang didakwa Zara dimasukkan ke dalamnya, Ram berkata dia hanya melihat dua buah mesin basuh biasa muatan 7.5 kg.
“Saya hanya nampak dua buah mesin basuh domestik (biasa) muatan 7.5kg,” katanya.