KOTA KINABALU: Seramai lebih 15,000 orang pelajar di negeri ini telah mendapat manfaat dari pelaksanaan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) dengan jumlah perbelanjaan melebihi RM17 juta sejak diperkenalkan beberapa tahun lalu.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, jumlah itu meliputi bantuan kepada pelajar di semua peringkat pengajian bermula dari matrikulasi, diploma, ijazah sarjana muda, sarjana serta doktor falsafah (PhD).

“Untuk pengajian sarjana sahaja, sebanyak 107 pelajar telah menerima bantuan dalam tempoh dua tahun lalu manakala lebih 70 pelajar PhD turut dibantu.
“Keseluruhannya lebih RM1 juta telah dibelanjakan bagi tujuan itu,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Tabung Pendidikan Negeri Sabah kepada 10 pelajar PhD dan lebih 60 pelajar sarjana di sini, pada Selasa.
Arifin berkata, tabung berkenaan tidak termasuk inisiatif pendidikan negeri lain bernilai lebih RM80 juta serta biasiswa kerajaan negeri yang pada tahun ini sahaja berjumlah lebih RM140 juta.
“Jika digabungkan dengan inisiatif pendidikan lain termasuk Yayasan Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), kerajaan negeri sudah membelanjakan kira-kira RM1.3 bilion dalam tempoh lebih empat tahun untuk pembangunan modal insan termasuk pendidikan.
“Ini membuktikan komitmen kerajaan memastikan tiada alasan bagi anak-anak kita tidak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi kerana bantuan kewangan dan dana telah disediakan,” katanya.
Sementara itu, Arifin berkata, hasil pelaburan itu kini mula menunjukkan kesan apabila pelajar tajaan kerajaan negeri telah menjadi alumni Sabah Maju Jaya (SMJ) bermula tahun 2020 hingga 2024.

Beliau turut menyeru pelajar serta ibu bapa agar memanfaatkan pelbagai peluang yang ditawarkan kerajaan menerusi portal bersepadu biasiswa negeri, Yayasan Sabah dan MUIS bagi memudahkan akses permohonan bantuan pendidikan.
“Yang penting, anak-anak ini menguasai ilmu supaya mereka boleh berdikari dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negeri dalam apa jua bidang diceburi,” katanya.–