HomeUtamaLebih 1,000 umat Islam imarahkan sambutan Maulidur Rasul di Tamparuli

Lebih 1,000 umat Islam imarahkan sambutan Maulidur Rasul di Tamparuli

Read Time:1 Minute, 17 Second

TUARAN : Seramai lebih 1,000 umat Islam di daerah ini hadir mengimarahkan Sambutan Maulidur Rasul S.A.W dan Mahrajan Kesenian Islam Peringkat Daerah Tamparuli di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Jahid Jahim berkata, tema sambutan pada tahun ini iaitu ‘Membangun Ummah Madani’ sangat bertepatan dengan keperluan umat Islam pada masa kini.

“Tema ini membawa maksud yang besar, menekankan kepentingan membina masyarakat yang berilmu, berakhlak, progresif dan berteraskan nilai-nilai Islam.

“Sejajar dengan konsep Malaysia Madani yang digagaskan oleh kerajaan, Ummah Madani bukan sekadar slogan.

“Ia adalah satu gagasan yang mengajak kita membina masyarakat yang seimbang antara dunia dan akhirat, yang mampu menangani cabaran moden dengan berpaksikan nilai-nilai murni Islam seperti keadilan, belas ehsan, integriti dan perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan berkenaan di Dewan Tun Hamdan di sini, pada Ahad.

Jahid yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah berkata, Nabi Muhammad SAW menunjukkan contoh terbaik dalam membentuk masyarakat Madinah yang bersifat madani, majmuk, aman, adil dan penuh kasih sayang.

“Baginda membina masyarakat bukan hanya dengan peraturan tetapi dengan akhlak dan ilmu,” katanya.

Katanya, dalam era globalisasi dan digital hari ini, cabaran terhadap akidah, akhlak dan jati diri umat Islam semakin kompleks serta memerlukan kefahaman agama yang benar.

“Pembangunan umat Madani harus bermula dari asas, dari rumah, ke sekolah, ke masjid hinggalah ke seluruh masyarakat,” katanya.

Beliau menyeru agar sambutan berkenaan dijadikan titik tolak untuk memperkuatkan kesatuan umat dan menyemarakkan cinta kepada Rasulullah SAW.

Selain perarakan, pertandingan mahrajan kesenian kompang, nasyid, marhaban dan berzanji juga diadakan di samping
ceramah khas.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah cadang beri pendidikan percuma untuk pelajar lanjut ke IPT milik...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular