HomeUtamaPersatuan Sumber Harapan Sabah rayu sokongan perkasa pendidikan anak B40

Persatuan Sumber Harapan Sabah rayu sokongan perkasa pendidikan anak B40

Read Time:1 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU: Persatuan Sumber Harapan Sabah merayu agar lebih banyak sokongan bagi memperkasa pendidikan anak-anak daripada komuniti miskin dan golongan B40 di negeri ini.

Pengerusinya, Josephine Hadikusumo berkata, misi persatuan itu tidak dapat digerakkan secara menyeluruh tanpa bantuan kewangan, tajaan dan sumbangan daripada kerajaan, syarikat korporat serta individu.

“Kami amat memerlukan sokongan masyarakat. Persatuan ini berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), maka setiap sumbangan akan mendapat pengecualian cukai.

“Sumbangan ini bukan untuk kami, tetapi untuk anak-anak daripada keluarga susah agar mereka berpeluang mendapat pendidikan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Amal Persatuan Sumber Harapan Sabah, di sini baru-baru ini.

Josephine berkata, walaupun persatuan itu berjaya melaksanakan program di 20 daerah, kekangan dana menghadkan pergerakan mereka kerana kos perjalanan jauh dari Kota Kinabalu tidak dapat ditampung sepenuhnya.

“Dengan lebih banyak sumber, kami mampu meliputi kawasan lebih luas, termasuk daerah pedalaman yang masih jauh ketinggalan,” katanya.

Menurutnya, pendidikan adalah kunci mengubah masa depan generasi muda serta memutuskan kitaran kemiskinan.

Sementara itu, pengasas persatuan, Datuk Seri Christina Liew menzahirkan sokongan penuh terhadap usaha NGO berkenaan.

“Inilah jenis NGO yang wajar kita sokong sepenuhnya. Bukan sahaja Society of Hope, tetapi juga NGO lain yang berjuang demi kebaikan rakyat, khususnya kanak-kanak.

”Projek tahun ini sudah dirancang di beberapa daerah, malah para penaja dan orang ramai turut memainkan peranan besar dalam menjayakan usaha tersebut.

“Keadaan sekarang juga jauh lebih baik berbanding ketika penggal pertama saya pada 2007. Jika dahulu saya perlu membawa kasut tambahan kerana jalan berlumpur, kini akses lebih mudah dan kenderaan sudah boleh sampai terus,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis siasat kes pembocoran maklumat kanak-kanak di media sosial

Mahkamah Kota Kinabalu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular