Kota Kinabalu: Jabatan Arkib Negeri Sabah menjadi peneraju utama dalam menganjurkan Pameran Hari Malaysia 2025, sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah.
Pengarah Jabatan Arkib Negeri Sabah Shirley Sion berkata, pameran yang bermula pada jam 8 pagi hingga 5 petang di bangunan Jabatan Arkib Negeri Sabah itu terbuka secara percuma kepada orang ramai mulai dari 10 hingga 13 September ini.
“Pameran ini bukan sekadar pameran biasa. Ia menampilkan dokumen asli, foto bersejarah, dan rakaman penting yang membuktikan peranan signifikan Sabah dalam pembentukan Malaysia pada tahun 1963,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual pada segmen “Bah Ngamlah Tu” di konti SABAHfm, di sini.
Shirley berkara, pameran berkenaan bertujuan untuk memberi peluang kepada generasi muda untuk mempelajari sejarah secara langsung melalui bahan-bahan arkib yang sahih dan autentik, sekali gus menyemai minat terhadap warisan negeri dan negara.

“Melalui pameran ini, pengunjung terutama pelajar dan belia akan lebih mudah memahami naratif sejarah dengan melihat sendiri bukti dan rekod autentik yang disimpan oleh jabatan kami,” katanya.
Tambah Shirley, pameran kali ini turut disemarakkan dengan aktiviti santai dan mesra rakyat bagi menarik kehadiran pengunjung dari pelbagai lapisan umur.
“Antara aktiviti yang disediakan sepanjang pameran termasuk Merdeka Pop Quiz, Gerai Rahmah yang menawarkan makanan pada harga berpatutan, Pertandingan Nyanyian Lagu P. Ramlee, Pertandingan Mewarna Kanak-kanak, Pertandingan e-Sukan Mobile Legends serta Scavenger Hunt yang dijangka menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.