Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil hari ini melancarkan unit PRIME kedua negara di Kampung Sungai Imam, Tawau, bagi memperkukuh keupayaan komunikasi terutama ketika bencana dan meningkatkan literasi digital komuniti.
Menurut beliau, unit PRIME pertama telah dilancarkan dua bulan lalu di Cyberjaya untuk beroperasi di seluruh Semenanjung, manakala unit baharu ini akan digerakkan khususnya bagi membantu pasukan keselamatan serta komuniti yang berdepan kesukaran capaian Internet di Sabah.
“PRIME akan digunakan bukan sahaja ketika bencana, tetapi juga untuk menyokong misi keselamatan dan memberi manfaat kepada komuniti yang terputus hubungan. Unit ini dilengkapi teknologi dron yang boleh menyalurkan capaian internet serta sistem komunikasi terus kepada mangsa di lokasi terpencil,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran PRIME Peringkat Negeri Sabah di NADI Sungai Imam, Tawau, di sini hari ini.
Beliau menambah, pelaksanaan PRIME di Sabah akan berjalan seiring dengan pembangunan NADI iaitu pusat komuniti digital yang kini berjumlah 132 di negeri itu. PRIME akan membantu NADI dalam program kesedaran digital, keselamatan siber, serta e-kesihatan melalui teleperubatan.
“Bagi kawasan yang masih tiada talian, maklumat daripada PRIME akan disalurkan ke ibu pejabat MCMC untuk diteliti dan, jika perlu, pemasangan menara baharu akan dilakukan,” jelasnya.
Fahmi turut menegaskan kerjasama rapat akan dijalinkan bersama NADMA, Jabatan Bomba dan Penyelamat, PDRM serta agensi berkaitan bagi memastikan PRIME berfungsi sepenuhnya ketika operasi kecemasan.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan penyebaran berita palsu dan kandungan berunsur 3R di media sosial, merujuk kepada insiden pada sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini.
“Kita berhak bersuara, tetapi ada batasnya. Jangan sampai mengaibkan atau menyalahi undang-undang. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu termasuk akaun palsu yang digunakan untuk menyebarkan fitnah dan ugutan jenayah,” tegasnya.
Fahmi berkata, insiden penyebaran ugutan terhadap saksi inkues Zara Qairina jelas menunjukkan bahaya penyalahgunaan media sosial, justeru beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.