HomeUtamaKerajaan teliti mekanisme pastikan bekalan cukup bagi Program SARA

Kerajaan teliti mekanisme pastikan bekalan cukup bagi Program SARA

Read Time:1 Minute, 44 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Kerajaan akan meneliti mekanisme terbaik bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas mencukupi di semua premis terlibat dalam pelaksanaan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata perkara itu akan dibangkitkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan susulan aduan orang ramai mengenai stok barangan tertentu, khususnya beras, yang cepat habis di beberapa lokasi.

“Daripada lawatan saya di Pasaraya Gemilang, DUN Merotai hari ini, kita dapati permintaan tinggi terhadap barangan seperti beras menyebabkan stok cepat habis. Ada beras yang masih ada, tetapi bukan beras tempatan. Saya akan maklumkan perkara ini kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) supaya langkah penambahan bekalan dapat diusahakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan tinjauan Perkhidmatan SARA di Supermarket Gemilang Jalan Kuhara Taman Sejati, Semarak, di sini hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan data pelaksanaan SARA, kerajaan boleh mengukur secara masa nyata jumlah barangan yang ditebus serta kategori produk paling laris, sekali gus membantu menyeimbangkan keperluan bekalan di lokasi tertentu.

Selain itu, Fahmi berkata jumlah premis yang menyertai program tersebut juga akan ditambah bagi memberi lebih banyak pilihan kepada penerima, terutama di kawasan luar bandar.

“Di Merotai misalnya, hanya ada dua lokasi untuk menebus produk SARA. Saya sudah minta supaya perkara ini diteliti semula. Pada awalnya, program ini bermula dengan 2,000 lebih premis, tetapi kini sudah meningkat kepada lebih 7,300. Saya percaya jumlah itu boleh terus ditambah,” jelasnya.

Beliau turut menekankan keperluan menyalurkan maklumat lengkap kepada juruwang, khususnya berkaitan tindakan segera jika sistem MyKasih tergendala.

Mengenai isu tuntutan bertindih, Fahmi berkata perkara itu akan dibincangkan secara teliti oleh Jemaah Menteri selepas menerima laporan daripada Kementerian Kewangan.

“Kadangkala berlaku keadaan di mana seorang ibu membawa MyKad anak, atau pasangan suami isteri menebus menggunakan satu MyKad. Arahan semasa ialah juruwang perlu mengesahkan identiti pemegang MyKad yang sebenar. Mekanisme ini akan kita teliti bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,” katanya.

Program SARA yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini membolehkan setiap warganegara berusia 18 tahun ke atas menebus barangan keperluan asas bernilai sehingga RM100, bermula 31 Ogos hingga 31 Disember ini.

RELATED ARTICLES
Utama

Kenyataan Shafie Tentang Kes Zara Disifatkan Tidak Bertanggungjawab Dan Prejudis

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular