KOTA KINABALU, – Polis mengesahkan telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun di Semporna semalam berhubung ugutan terhadap seorang pakar patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu, berkaitan kes Zara Qairina binti Mahathir.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata suspek ditahan kira-kira pukul 7 pagi di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna selepas polis menerima laporan mengenai kenyataan berunsur ugutan yang dimuat naik di laman Facebook menggunakan akaun “Amung Kamaruddin”.
“Turut dirampas daripada suspek ialah sebuah telefon bimbit jenama Redmi. Hasil semakan awal mendapati suspek adalah pemilik akaun Facebook berkenaan yang mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap pakar patologi terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Jauteh turut menasihati orang ramai agar sentiasa berhemah serta bertanggungjawab menggunakan media sosial dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam atau menimbulkan keresahan masyarakat.
“PDRM memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan tersebut,” katanya.
Semalam Polis turut mengesahkan telah menerima laporan daripada Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth Dr Jessie Hiu berhubung ugutan diterimanya selepas menjadi saksi di Mahkamah Koroner dalam prosiding inkues bagi menentukan punca kematian pelajar Zara Qairina Mahathir.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata laporan polis itu dibuat oleh Dr Hiu semalam.
“Ada terima ugutan yang dimaklumkan oleh Pengarah Hospital Queen Elizabeth. Kes sedang dalam siasatan polis,” katanya ringkas