HomeUtamaEx-Xiphias uji kesiapsiagaan 16 agensi tangani krisis udara

Ex-Xiphias uji kesiapsiagaan 16 agensi tangani krisis udara

Read Time:2 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU: Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) menjadi medan latihan bagi menguji tindak balas kecemasan pihak berkuasa dalam menangani situasi cemas  termasuk kemalangan membabitkan insiden pesawat terhempas.

Justeru, bagi meningkatkan lagi tahap kesiapsiagaan kecemasan melibatkan pesawat udara, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) melaksanakan  Ex-Xiphias, latihan penuh simulasi kecemasan di KKIA.

Situasi semasa Latihan Ex-Xiphias di KKIA Terminal 2

Latihan dwitahunan itu menzahirkan komitmen MAHB dalam mengekalkan tahap keselamatan tertinggi dengan memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan penerbangan awam di peringkat nasional dan antarabangsa, termasuk Civil Aviation (Aerodrome Operations) Regulations 2016 serta Civil Aviation Directive 14 Vol. I.

Jentera AFRS memadam kebakaran yang berlaku

Pengurus Airport Fire and Rescue Service (AFRS) KKIA, Khairul Nizam Ahmad Nazarudin berkata, kesiapsiagaan lapangan terbang dan pihak berkepentingan perlu sentiasa dipertingkatkan kerana bencana udara boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Latihan penuh ini mensimulasikan kemungkinan bencana udara bagi meningkatkan koordinasi, kemahiran dan keberkesanan selaras dengan Pelan Kecemasan Aerodrom (AEP).

“Komunikasi berkesan dan kerjasama strategik antara semua pihak amat penting untuk memperkukuh kesiapsiagaan krisis serta menangani ancaman keselamatan,” katanya ketika ditemui media selepas latihan di Terminal 2 KKIA, di sini pada Khamis lalu.

Anggota bomba membantu menyelamatkan ‘mangsa’ terlibat

Latihan yang diberi kod nama Ex-Xiphias itu berlangsung selama dua hari bermula dengan sesi teori pada Rabu iaitu hari pertama dan simulasi realistik insiden kecemasan pesawat di kawasan lapangan terbang pada hari kedua.

Menurut Khairul, sebanyak 30 aset daripada pelbagai agensi digerakkan termasuk penyertaan pasukan tentera.

“Seramai 466 anggota daripada 16 agensi kerajaan dan swasta menyertai latihan ini, antaranya Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pusat Kawalan Bencana Negeri serta beberapa syarikat penerbangan dan pihak berkepentingan lapangan terbang.

“Latihan ini juga melibatkan 113 pelajar Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM),” katanya.

Salah seorang pelajar ILKKM, Michiko Clarissa Jaslen, 20, menyifatkan penglibatannya dalam simulasi kecemasan melibatkan pesawat udara itu sebagai pengalaman berharga.

”Latihan ini sedikit sebanyak memberi bayangan mengenai tindakan yang perlu diambil jika benar-benar berlaku kecemasan di lapangan terbang.

”Simulasi ini juga sangat menarik kerana dapat mengaplikasikan teori yang  kami pelajari,” katanya.

Latihan kecemasan sebegini amat penting bagi melindungi infrastruktur lapangan terbang dan memastikan kesiapsiagaan dalam menguruskan sebarang krisis yang mungkin berlaku di dalam atau sekitar kawasan berkenaan.

Lapangan terbang di Malaysia dikategorikan sebagai kawasan larangan, manakala sebahagian fasiliti turut diklasifikasikan sebagai National Vital Installation Priority 1 (NVIP1), status yang menandakan peranan kritikalnya terhadap keselamatan negara dan operasi kerajaan. 

Dalam konteks itu, Pelan Kecemasan Aerodrom (AEP) berfungsi sebagai rangka kerja operasi penting dengan memperincikan prosedur tindak balas kecemasan yang pantas, berkesan dan terkoordinasi demi menjamin keselamatan awam, kepentingan negara serta kesinambungan operasi perkhidmatan penerbangan yang kritikal.-

RELATED ARTICLES
EnglishUtama

‘Reckless, Dangerous and Disgusting’: Lawyers Hit Back at Shafie Over Zara...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular