Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengesahkan berlaku satu insiden melibatkan kematian seorang pekerja ketika kerja-kerja projek dijalankan oleh kontraktor di kawasan kampus di sini pada Sabtu.
Pusat Komunikasi Korporat UMS dalam satu kenyataan memaklumkan, universiti itu memandang serius perkara tersebut dan telah segera menggerakkan pasukan Bahagian Keselamatan (BKUMS), Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) serta Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (COSH) bagi membantu operasi awal serta menyelaras tindakan dengan pihak berkuasa.
Pihak UMS juga telah berhubung dengan pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Sabah berkaitan insiden ini.
“Sebagai langkah berwaspada, projek berkaitan telah dihentikan serta-merta sehingga siasatan selesai dijalankan oleh pihak berkuasa.
“UMS akan turut melaksanakan auditan keselamatan menyeluruh terhadap semua projek yang sedang berjalan.
“Pihak universiti amat berdukacita dengan kejadian ini dan menzahirkan ucapan takziah serta simpati kepada keluarga mangsa,” menurut kenyataan itu di sini.
UMS, melalui kontraktor, akan memastikan bantuan dan sokongan sewajarnya disalurkan kepada keluarga mangsa.
Sementara itu, UMS menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan warga kampus serta pihak yang terlibat dalam projek sentiasa menjadi keutamaan.
UMS komited memperkukuhkan lagi pemantauan kepada pematuhan perundangan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi mengelakkan kejadian seumpama berulang.
Universiti itu juga menyeru agar semua pihak menghormati sensitiviti keluarga mangsa serta tidak membuat sebarang spekulasi sehingga hasil siasatan rasmi diumumkan oleh pihak berkuasa. – Chronivo