Oleh Erdie Ab Wahid
Kota Kinabalu : Sabah FC masih menyasarkan untuk menduduki kedudukan lima terbaik dalam saingan Liga Super musim ini meskipun masih di peringkat awal.
Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, skuad The Rhinos telah menunjukkan peningkatan dari segi keserasian walaupun perlawanan terbaru menentang Melaka hanya berakhir dengan keputusan seri.
“Masih awal, tapi sasaran kita kali ini tetap ‘Top Five’.
“Sepatutnya (pada perlawanan menentang Melaka) kita dapat tiga mata penuh, tetapi keadaan belum menyebelahi kita.
“Bagaimanapun, kita nampak keserasian sudah mula ada dan ada peningkatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri ‘Meet and Greet’ Sabah FC di sini pada Khamis.
Ketika ditanya mengenai harapan untuk perlawanan pusingan 16 Piala FA bertemu Bunga FC 13 September ini, Shahelmey berharap pemain dapat menampilkan aksi bertenaga untuk meraih kemenangan penuh.
“Harapan kita tiada lain, kita mahu menang untuk layak ke peringkat seterusnya,” katanya.
Sabah FC sebelum ini berjaya menjaringkan 6-0 seterusnya memberi kelebihan di laman sendiri- Chronivo