Oleh J. Evachel John
Kota Kinabalu: Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu memberitahu Mahkamah Koroner bahawa mesin basuh domestik tidak mungkin dapat beroperasi jika beban sebanyak 53kg dimasukkan.
Dr Jessie mendedahkan perkara itu ketika ditanya oleh pegawai pengendali Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Datuk Badiuszaman Ahmad sama ada terdapat kemungkinan mangsa dimasukkan ke dalam mesin basuh.
“Saya tidak memeriksa saiz tong. Saya dimaklumkan berat badan si mati ialah 53 kilogram. Saya tidak tahu sama ada seseorang dengan berat 53 kilogram boleh muat ke dalam mesin basuh.
“Bagaimanapun, saya fikir tidak mungkin mesin basuh itu boleh beroperasi dengan beban 53 kilogram,” katanya.
Terdahulu, ketika menjawab soalan lain yamg diajukan oleh pegawai pengendali, Dr Jessie berkata memang terdapat mesin basuh, tetapi beliau tidak dapat mengingati jumlahnya, hanya menyatakan bahawa ada lebih daripada satu.
Ditanya mengenai saiz, Dr Jessie berkata: “Ia adalah mesin basuh domestik, bukan industri.” – Chronivo