HomeUtamaTerkejut dan tidak sangka terima anugerah TYT - Nurfaezah

Terkejut dan tidak sangka terima anugerah TYT – Nurfaezah

Read Time:1 Minute, 37 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

Kota Kinabalu : “Alhamdulillah, selepas tiga tahun, saya dapat kecapi kejayaan pada hari ini dan tidak sangka akan menerima Anugerah Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah,” kata Nurfaezah Ali @ Mohamad Ali,24.

Anak bongsu dari tiga beradik itu diumumkan sebagai penerima anugerah tertinggi sempena Istiadat Konvokesyen Politeknik Kota Kinabalu (PKK) yang berlangsung di Dewan Rafflesia PKK di sini pada Rabu.

Lebih manis, selain menerima anugerah tertinggi itu, Nurfaezah turut menerima tiga lagi anugerah lain iaitu, Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum; Anugerah Pengarah dan Anugerah Khas Industri.

Istiadat itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Nurfaezah (tiga kiri) ketika menerima anugerah dari Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman

Ketika ditemui, Nurfaezah yang kini melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) di peringkat Ijazah Sarjana Muda mengakui hanya dimaklumkan sebagai penerima anugerah itu ketika hadir mendaftar konvokesyen Isnin lalu.

“Hari ini saya dapat empat anugerah, tidak jangka sebenarnya, sangat terkejut terutama anugerah TYT yang mana saya hanya dimaklumkan semasa pendaftaran konvokesyen 1 September lalu.

“Yang anugerah lain telah dimaklumkan awal sebab perlu buat video ucapan.  Ketika hadir mendaftar ramai kawan ucap tahniah, saya tertanya kenapa, rupanya gambar saya ada di dalam buku cenderamata konvokesyen sebagai penerima anugerah TYT,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai ‘resepi’ kejayaannya, Nurfaezah berkata, sokongan 100 peratus dari ahli keluarga terutama ibu dan ayah serta semua ahli keluarga menjadi antara pendorong kepada kejayaan yang diraih.

Beliau turut berharap agar semua pelajar khususnya di PK atau di mana sahaja untuk meneruskan perjuangan sehingga tamat pengajian.

“Jangan letakkan diri kita yang tidak berguna ataupun tidak boleh buat apa-apa. Keluar daripada kepompong, cuba benda yang baru, beranikan diri dan insya Allah ada kejayaan menanti,” katanya.

Anak kelahiran Keningau itu berkata, beliau merancang untuk meneruskan kerjaya sebagai pendidik khususnya pensyarah dalam bidang yang diceburi. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular