Lahad Datu : Sebuah vesel pukat jerut bilis yang beroperasi terlalu hampir dengan daratan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu dalam operasi penguatkuasaan di perairan Kunak semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, penahanan dibuat kira-kira jam 11.55 pagi di kedudukan 0.14 batu nautika timur Pulau Timbun Mata menerusi Op Pluto Timur 2/2013 dan Op Tiris 3.0.
“Hasil pemeriksaan mendapati, vesel dikendalikan seorang tekong warga tempatan berusia 18 tahun bersama empat kru warga Filipina berusia 17 hingga 25 tahun. Turut ditemui hasil tangkapan laut seberat lapan kilogram,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati vesel terbabit melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu menangkap ikan pada jarak kurang daripada 1.0 batu nautika dari daratan terdekat.

Selain itu katanya, vesel tersebut juga dikesan melakukan kesalahan di bawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah apabila gagal memaklumkan pertukaran tekong seperti yang diwajibkan dalam lesen bot.
Dzulfikhar turut menegaskan, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pengusaha bot nelayan yang ingkar syarat lesen, khususnya mereka yang beroperasi di zon larangan.
“Peraturan jarak ini ditetapkan bagi melindungi ekosistem marin serta memastikan sumber perikanan negara kekal mampan,” katanya.
Tambahnya, vesel, kru dan hasil tangkapan kemudian dibawa ke Jeti Maritim Lahad Datu untuk siasatan lanjut.
“Maritim Malaysia turut menyeru komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi undang-undang laut dan segera menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti mencurigakan melalui aplikasi WhatsApp 016-9305727 atau talian kecemasan 999,” katanya. – Chronivo / FOTO MARITIM MALAYSIA