HomeUtamaBangunan baharu MAN Putatan siap hujung tahun ini - Shahelmey

Bangunan baharu MAN Putatan siap hujung tahun ini – Shahelmey

Read Time:1 Minute, 14 Second

Putatan : Mahkamah Anak Negeri (MAN) daerah Putatan dijangka berpindah ke bangunan baharu yang kini dalam fasa akhir pembinaannya pada penghujung tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, kemudahan itu sekaligus akan menawarkan perkhidmatan yang lebih kondusif kepada masyarakat setempat.

“Bangunan baharu ini akan memberi keselesaan serta dapat meningkatkan keberkesanan fungsi Mahkamah Anak Negeri Putatan dalam melaksanakan tugasnya menyantuni masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Santai Mahkamah Anak Negeri Putatan Bersama Masyarakat di Dataran Pomoi, di sini pada Isnin.

Mengulas mengenai penganjuran program tersebut, Shahelmey memuji peranan yang dimainkan oleh MAN Putatan dalam membina hubungan lebih erat dengan masyarakat, program tersebut dilihat dapat meningkatkan kesedaran tentang fungsi dan peranan MAN.

Melalui penganjuran program tersebut para pengunjung dapat memperoleh maklumat berkenaan isu tuntutan harta, pengangkatan anak angkat, permohonan status anak negeri dan lain-lain yang berkaitan sebagaimana termaktub dalam Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992 (Pindaan 1995).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat turut menekankan bahawa Sabah berjaya mencatat pencapaian ekonomi cemerlang di bawah pentadbiran kerajaan sedia ada, apabila pendapatan negeri melebihi RM7 bilion buat pertama kali dalam sejarah, dengan rizab negeri mencecah hampir RM8 bilion.

“Pencapaian ini membolehkan kerajaan meningkatkan pelbagai inisiatif untuk rakyat, antaranya program Rumah Mesra SMJ, bantuan pendidikan, peranti digital untuk para pelajar serta peluang pekerjaan dalam sektor industri dan pelancongan,” katanya.

Beliau menambah, limpahan hasil ekonomi itu membuktikan keupayaan kerajaan dalam memastikan pembangunan negeri dikongsi bersama rakyat.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular